Thursday, June 18, 2015

Akhirnya, Siapa Pilihan Hati PKR?

18 Jun 2015, Shah Alam : Teka-teki siapa akhirnya yang menjadi pilihan hati PKR masih belum terjawab sehingga artikel ini ditulis malah semua pihak tertanya-tanya apakah pengakhiran hubungan PR ini yang seolah-olah retak menanti belah.

Apabila dua parti komponen PR, DAP dan Pas bercakaran, nyata PKR satu-satunya yang tersepit dan semalam tiba masa untuk parti yang lahir daripada gelombang reformasi itu membuat pilihan.

Namun, keputusan PKR itu masih rahsia meskipun telah mencapai kata sepakat dan dikatakan mempunyai kelompangan yang perlu diperhalusi.

Kini, tumpuan terarah kepada nasib Selangor yang ditadbir PR malah ada yang membayangkan kemungkinan paling buruk iaitu sekiranya Pas menarik diri, kerajaan negeri ini akan tumbang.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berpendapat, PKR terpaksa membuat pilihan sukar antara mempertahankan Selangor ataupun kerjasama PR.

“PKR tersepit sama ada mereka nak bersama DAP atau nak pastikan kerajaan Selangor bertahan. Jadi, sekarang ini PKR perlu buat pilihan yang sukar. Jika Pas tarik diri dan umum tidak lagi ‘bersama’ kerajaan negeri Selangor, negeri ini akan tumbang.

“Isunya sekarang ialah apakah PKR juga mempunyai pendirian yang sama dengan DAP? Kita juga perlu tahu apakah pendirian Pas berhubung perkara tersebut? Sebab setakat ini kita tahu Pas masih lagi bersama PR, Pas tidak pernah mengatakan untuk keluar PR,” katanya kepada Sinar Online.

Menyentuh soal Selangor, beliau yakin menteri besarnya, Azmin Ali serta PKR tidak mahu kehilangan Selangor namun, Azmin perlu membuat pilihan yang terlalu sukar iaitu mempertahankan Pas bagi mengekalkan kedudukannya dan Selangor tetapi beliau perlu ingat bahawa Pas kini diterajui golongan ulama.

 “Selangor akan terus kekal selagi Pas ‘bersama’ dengan kerajaan negeri. Jika Pas tarik diri, PKR masih mendapat kerjasama Pas untuk meneruskan pentadbiran kerajaan negeri, maka Selangor akan ‘survive’.

“Setahu saya Azmin dan PKR tidak mahu perkara ini berlaku jadi Azmin akan cuba sedaya upaya untuk mengekalkan Adun-Adun Pas dalam kerajaannya. Sebab akan lebih sukar jika nak buat pilihanraya negeri yang baharu. Rakyat pun dah letih dengan politik yang banyak-banyak ini,” katanya.

Menyentuh soal kata putus yang masih belum diumumkan oleh semua parti dalam PR, beliau mendakwa hal itu kerana tiada parti yang mahu dipersalahkan atas bubarnya PR.

“Puncanya DAP yang memulakan dulu apabila mereka putuskan hubungan dengan Presiden Pas. Kemudian Pas terima usul Dewan Ulama agar putuskan hubungan dengan DAP tapi kekal dalam PR. Tapi Pas masih belum lagi beri keputusan hingga kini begitu juga PKR.

“Sebab masing-masing tidak mahu disalahkan atas bubarnya PR. Walaupun dari awal memang DAP yang bertanggungjawab kerana mereka yang memulakan putus hubungan. PR dibubar bukan kerana Pas sahaja tapi kerana DAP. Apabila Pas bertindak balas kenapa DAP nak salahkan Pas pula?” katanya.

Sementara Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir mengibaratkan apa yang berlaku di Selangor adalah ditelan mati mak, diluah mati bapa.

“Azmin akan memikirkan kestabilan politik di Selangor bagi mengelakkan pilihanraya negeri daripada berlaku dan menjaga kedudukannya sebagai menter besar. Apa-apa sahaja keputusan sekarang ini akan memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang termasuk dalam pilihanraya umum akan datang.

“Bagaimana mereka nak yakinkan rakyat setelah berlakunya konflik yang terjadi sekarang ini. Jika PKR memilih Pas, untuk tempoh terdekat ini mereka masih boleh ‘survive’ lagi.

"Tiada masalah. Tapi untuk pilihan raya akan datang, implikasinya mereka hanya akan menang di kawasan yang majoritinya Melayu. Di kawasan majoritinya kaum Cina, mereka akan kalah.

"Situasi sekarang tidak jelas…sukar untuk kita jangkakan apa yang perlu dilakukan kerana ditelan mati mak, diluah mati bapa,” katanya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment