Thursday, June 18, 2015

Sebab Ramai Yang Spin Cerita...... Usaha Perkasa Ekonomi Bumiputra Tak Rasis...- TPM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak mempunyai sikap dan perspektif yang betul mengenai usaha memperkasa ekonomi Bumiputera.

"Apabila kaum Bumiputera sebagai golongan majoriti penduduk negara ini mempertahankan tentang keadaan mereka yang agak terpinggir daripada arus perdana pembangunan ekonomi negara dan menuntut pelaksanaan suatu dasar dan tindakan khusus untuk membela nasib mereka, ini tidak bermakna mereka bersifat perkauman.

"Mereka tidak seharusnya dilabel sebagai golongan yang rasis semata-mata kerana menuntut apa yang hak bagi diri mereka," katanya dalam ucapan penutup Sidang Kemuncak Ekonomi Melayu 2015 anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Kuala Lumpur, Rabu.

Sidang itu menghimpunkan pakar-pakar ekonomi, ahli dewan perniagaan Melayu dan aktivis badan bukan kerajaan ekonomi Melayu, bagi menentukan hala tuju ekonomi Melayu dalam negara, selain mencadangkan polisi, intervensi dan inisiatif dalam memperkasakan ekonomi Melayu.

Muhyiddin berkata pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama adalah penting bagi menjamin keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang berterusan.

Ini berikutan, banyak bukti di serata dunia menunjukkan apabila golongan majoriti di sesebuah negara tersisih daripada arus perdana kemajuan ekonomi, negara itu tidak akan menjadi sebuah negara yang aman dan stabil, kata Muhyiddin.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran, Muhyiddin meminta agar semua pihak tidak patah semangat kerana agenda memperkasa ekonomi Melayu dan Bumiputera serta membela masyarakat yang terpinggir tanpa mengira kaum akan diteruskan.

Muhyiddin turut menggariskan beberapa fokus utama yang perlu dijadikan objektif pengurusan ekonomi negara pada masa akan datang antaranya mengurangkan ketaksamaan pendapatan dan kekayaan, merapatkan jurang pekerjaan antara kaum dalam sektor swasta dan membasmi kemiskinan.

Bagi memperkasa ekonomi Bumiputera, mereka harus merebut pelbagai peluang yang wujud dalam pelbagai sektor ekonomi di bawah 12 Bidang Ekonomi Utama Negara, termasuk 3.3 juta peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai sektor berdaya maju dan berpendapatan lumayan termasuk minyak dan gas, katanya.

Beliau juga berkata aspek paling penting yang perlu diberi tumpuan untuk memastikan kejayaan agenda Bumiputera adalah dengan memantapkan tadbir urus kementerian, agensi atau institusi yang diamanahkan untuk melaksanakan dasar atau program pembangunan ekonomi Bumiputera.

"Saya percaya jika aspek tadbir urus dan integriti ini dapat kita perkukuhkan, maka ketirisan dan kelemahan dalam pelaksanaan agenda ekonomi Bumiputera akan dapat diatasi dan keyakinan rakyat kepada kerajaan akan dapat dipulihkan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu cabaran besar yang dihadapi Malaysia pada tahun-tahun akan datang adalah bagi menangani ketaksamaan yang wujud dalam pelbagai aspek antaranya intra etnik, antara etnik dan jurang antara bandar dan luar bandar.

Katanya turut menjadi cabaran adalah berhubung jurang gaji dalam kalangan pengurusan tertinggi dan kakitangan peringkat bawahan di sektor korporat serta jurang pembangunan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dalam menangani ketaksamaan pada hari ini adalah jauh lebih rumit berbanding menstruktur semula masyarakat pada tahun 1970-an.

"Ini kerana arus liberalisasi ekonomi dan pasaran terbuka sudah pasti menjadi halangan utama kerajaan dalam melaksanakan sebarang tindakan afirmatif untuk membantu golongan yang terpinggir," katanya.

Beliau turut memetik beberapa isi kandungan laporan MTEM yang memerlukan perhatian segera dan serius daripada kerajaan, antaranya jurang pendapatan isi rumah di Malaysia.

"Ia adalah antara yang tertinggi di mana kumpulan 20 peratus tertinggi bagi sesuatu kaum mempunyai pendapatan RM15,254 berbanding kumpulan terbawah dalam kaum yang sama berpendapatan RM1,686, iaitu hampir 10 kali ganda lebih rendah," katanya.

Kata timbalan perdana menteri laporan MTEM juga mendedahkan jurang pendapatan antara Melayu dan satu kaum lain juga meningkat 10 kali ganda daripada RM2,600 pada 1970 kepada RM23,000 pada tahun 2012.

"Selain itu masyarakat luar bandar yang majoritinya bumiputera secara puratanya hanya menerima 60 peratus gaji masyarakat bandar. Malahan, ketaksamaan antara pegawai rendah sebuah syarikat dengan gaji ketua pegawai eksekutif dan pengurusan kanan syarikat di Malaysia adalah antara 90 hingga 300 kali ganda," kata beliau. 

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment