Monday, June 01, 2015
Antara Hadi Dan Mat Sabu, Siapa Lebih Hebat?
EDITOR MENULIS...
1 JUN 2015
Saya
 yakin bahawa hampir semua pemerhati politik negara dapat menyedari 
tentang sokongan Mohamad Sabu terhadap dua calon Presiden PAS pada 
muktamar parti itu, Jun ini. Bagai terang lagi bersuluh, dia dilihat ke 
hulu ke hilir membawa calon pilihannya itu, bukan?
Dan baru-baru ini, semakin terserlah 
“belang” Mat Sabu apabila terang-terangan menyindir Datuk Seri Abdul 
Hadi Awang, di Tumpat, Kelantan, apabila dia menyifatkan Presiden PAS 
itu hanya pandai berpidato, tapi tidak berjaya mempertahan Terengganu 
dari dirampas kembali oleh Barisan Nasional (BN).
Kenyataan itu seolah-olah mengesahkan 
tentang dakwaan sebelum ini yang mengatakan Mat Sabu benar-benar mahu 
jatuh Abdul Hadi dari kepimpinan PAS meskipun dinafikan berkali-kali.
Dia mengungkit soal menang atau kalah 
pilihanraya? Abdul Hadi gagal pertahankan Terengganu pada pilihanraya 
2004. Ya, fakta itu benar. Tapi Mat Sabu perlu tahu bahawa kekalahan PAS
 di Terengganu adalah disebabkan Allah mahu mengembalikan kuasa pada BN,
 bukan salah manusia bernama Abdul Hadi pun!
Pada pandangan saya, kekalahan PAS di 
Terengganu pada tahun 2004 adalah kehendak Allah SWT. Sehebat mana 
sekalipun PAS ketika itu dan jika tidak diizinkan Allah untuk terus 
berkuasa di negeri itu, tidak menang juga PAS di situ, bukan?
Lebih tepat lagi, cuba lihat pada Mat 
Sabu sendiri. Sepanjang kariernya bergelar ahli politik, berapa kalikah 
dia menang pilihanraya dan menjadi wakil rakyat?
Pada tahun 1982, Mat Sabu tewas di 
Penanti. Tahun 1986, dia tewas di Permatang Pauh. 
“Berhijrah” ke 
Kelantan, dia menang di Nilam Puri (1990) dan Kubang Kerian (1995). 
Kemudian, dia menang di Kuala Kedah (1999), tapi tewas di parlimen yang 
sama pada tahun 2004.
Dia bertanding pula di Kuala Terengganu 
(2008), tewas lagi. Kononnya mahu menang di Pendang pada PRU ke-13 
(2013), tapi kalah di kubu kuat PAS itu!
Sekiranya di analisis, kemenangan Mat 
Sabu hanyalah ketika bertanding di “luar kawasan” dan kawasan “hijrah”. 
Lepas berhijrah ke kawasan baru di parlimen Nilam Puri, Kubang Kerian 
dan Kuala Kedah, dia menang di atas faktor rakyat di situ tidak 
benar-benar kenal Mat Sabu.
Tapi lepas sepenggal, dia “lompat” 
kawasan. Mengapa? Pada saya, dia tidak mampu bertahan di satu 
parlimen itu kerana memang dia hanya pandai bercakap saja, tapi tidak 
tahu buat kerja sebagai wakil rakyat.
Misalnya di Kuala Kedah. Dia cuba kekal 
di parlimen itu, tapi gagal, bukan? Jadi, tidak payahlah kita mengulas 
mengenai kekalahan dia di parlimen-parlimen lain, khususnya di Pendang. 
Dia bertanding di kubu kuat bekas Presiden PAS, arwah Ustaz Fadhil Noor,
 pun dia kalah?
Berdasarkan “track record” yang “hebat” 
itu, dia masih ada hati untuk memperlekeh Abdul Hadi? Saya 
tertanya-tanya, di rumah Mat Sabu ada cermin atau tidak? Jika ada, 
tolong cermin muka. Jika tiada, tolonglah sesiapa belikan cermin 
untuknya, boleh?
Pada pandangan penulis, kekuatan atau 
kelemahan yang ada pada Abdul Hadi itu wajar diukur pada pendiriannya 
mempertahan dasar dan perjuangan asal PAS, bukannya terletak pada menang
 atau kalahnya parti itu dalam pilihanraya.
Seorang tokoh PAS tulen pernah 
memberitahu saya bahawa perjuangan asal PAS adalah untuk memartabatkan 
Islam di Malaysia dan bukannya mahu mengejar kuasa politik.
Katanya, 
sekiranya menang kerusi pilihanraya pun, itu adalah kehendak Allah SWT.
Katanya, jika niat utama PAS adalah 
berpaksikan mahu menang pilihanraya semata-mata, maka parti itu rosak 
seperti PKR dan DAP yang mengamalkan prinsip “matlamat menghalalkan 
cara” untuk berkuasa di negara ini.
Jadi pada saya, prestasi Abdul Hadi hanya
 boleh dinilai sama ada beliau benar-benar berpegang pada prinsip 
perjuangan tersebut atau sebaliknya. Hanya berpegang teguh pada prinsip 
itu maka barulah PAS akan berjaya “diselamatkan”.
Justeru itu, berdasarkan kedudukan dan status PAS terkini, nilai sendirilah keadaannya. 
Wallahua’alam.
Disediakan oleh :
 
Sdr Syamsul Amri bin Hj Ismail
Ketua Penerangan
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban 
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment