Monday, June 01, 2015
Letak Jawatan Jika Tidak Bersama
1 Jun 2015, Kuala Lumpur : Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan telah
meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama dengannya dalam
usaha pemulihan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya meletakkan
jawatan.
Kata dua Perdana Menteri itu dibuat semasa mesyuarat Kabinet Jumaat
lalu tetapi difahamkan, tiada seorang pun anggota Kabinet yang
menyatakan pendirian mereka tidak bersama Najib ketika diberi peluang
berbuat demikian.
Menurut sumber Kabinet, Perdana Menteri menyatakan pendirian tegasnya
itu sebaik sahaja Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah
selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB kepada semua anggota
Kabinet.
Hal sama yang berlaku dalam mesyuarat Kabinet itu turut dilaporkan portal berita, Malaysia-today.net.
“Perdana Menteri meminta mana-mana anggota Kabinet yang tidak bersama
dengan beliau dalam isu 1MDB meletakkan jawatan tetapi tiada seorang
pun berbuat demikian (menyatakan tidak bersama),” kata sumber itu kepada
Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Selasa lalu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional
(BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad, menggesa menteri yang tidak
bersetuju dengan keputusan kolektif Kabinet dalam isu 1MDB perlu
meletakkan jawatan.
Shahrir yang bersetuju dengan saranan Tengku Razaleigh Hamzah agar
seluruh anggota Kabinet harus mengambil tanggungjawab dalam isu 1MDB
ketika membuat gesaan itu berkata, prinsip Kabinet ialah tanggungjawab
bersama.
Pada Jumaat pula, Ahmad Husni ketika mengumumkan pelan rasionalisasi
1MDB memberitahu, syarikat pelaburan strategik kerajaan itu akan
menerima pembayaran AS$1 bilion (RM3.6 bilion) selepas memeterai
perjanjian dengan firma dari Abu Dhabi, International Petroleum
Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya, Aabar Investments
(Aabar).
Jelas Menteri Kewangan II itu, sebagai sebahagian daripada perjanjian
terbabit, IPIC akan membuat bayaran RM3.6 bilion itu pada atau sebelum 4
Jun dan dana itu akan digunakan 1MDB untuk membayar balik pinjamannya
berjumlah RM3.5 bilion lebih awal daripada tarikh akhir yang ditetapkan
kumpulan bank antarabangsa.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment