Monday, June 22, 2015
Azmin Dicabar Adakan Sidang DUN Tergempar
22 Jun 2015, Kuala Lumpur : Mohamed Azmin Ali dicabar untuk mengadakan sidang
Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi menentukan sama ada beliau
masih lagi mendapat sokongan majoriti sebagai Menteri Besar sekali gus
menyelesaikan pergolakan yang berlaku dalam pentadbirannya ketika ini.
Cabaran itu dikemukakan oleh Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk
Abdul Shukor Idrus yang menyifatkan Mohamed Azmin seolah-olah gagal
melaksanakan kepimpinannya di negeri ini apabila dikatakan terlalu
mengambil sikap berkecuali dalam menyelesaikan pergeseran di antara Pas
dan DAP.
Tegasnya, sebagai Ketua Eksekutif Negeri, beliau sepatutnya mengawal
kepemimpinannya selain menyelesaikan kemelut dalaman yang berlaku di
antara Pas dan DAP dengan memberikan kata putus mengenai hala tuju
pentadbirannya.
“Namun, kita lihat Menteri Besar tidak berani memberikan kata putus
atau membuat ketetapan tertentu untuk menyelesaikan kemelut di antara
Pas dan DAP sekali gus memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan
negeri.
“Mungkin kerana beliau (Mohamed Azmin) terlalu memikirkan
kedudukannya sebagai Menteri Besar memandangkan Pas dan DAP
masing-masing mendominasi kerusi DUN jika memilih menjalinkan kerjasama
dengan salah satu daripada kedua-dua parti tersebut.
“Jika demikian, maka beliau (Mohamed Azmin) sepatutnya memanggil
sidang DUN tergempar untuk menentukan bahawa beliau masih mendapat
sokongan majoriti ahli dewan sebagai Menteri Besar selain memuktamadkan
kerjasama di antara PKR, DAP dan Pas diteruskan atau sebaliknya,”
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Kuang turut menegaskan, formula yang diguna pakai oleh PKR, DAP
dan Pas dalam membentuk kerajaan bukan hanya tidak bertahan lama tetapi
juga tidak menjanjikan apa-apa manfaat yang baik untuk rakyat.
Kegagalan kerjasama ketiga-tiga parti itu, jelasnya, mungkin kerana
PKR, DAP dan Pas tidak mempunyai kesepakatan di antara satu sama lain
selain hanya memperjuangkan agenda peribadi parti masing-masing
semata-mata.
“Yang terpaksa menanggung akibatnya ialah rakyat Selangor sendiri
apabila banyak masalah tidak dapat diselesaikan sama ada dari segi
jaminan bekalan air bersih, perumahan mampu milik dan sebagainya,”
ujarnya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment