Monday, June 22, 2015
Jangan Jual Tanah Tabung Haji di TRX
22 Jun 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan sekali lagi didesak mengkaji balik
hasrat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) untuk menjual tanahnya yang
terletak di pusat kewangan, Tun Razak Exchange (TRX) kerana mempunyai
potensi pelaburan yang sangat tinggi dan menguntungkan.
Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, aset tersebut perlu
dipertahankan kerana harga tanah di TRX dijangka terus meningkat
terutama selepas pembangunan di segi tiga emas itu disiapkan dan
dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur serta prasarana moden.
Menurut beliau, tanah berkenaan juga melambangkan pemilikan aset oleh
orang Melayu dan Islam di kawasan hartanah paling bernilai di negara
ini memandangkan Tabung Haji merupakan institusi yang mewakili kaum itu.
“Kalau mengharapkan syarikat individu milik Melayu, saya rasa 20
tahun akan datang pun tiada orang Melayu akan memiliki tanah di situ,
sekarang ada institusi yang mewakili Melayu dan Islam. Jadi, perlu untuk
kita menjaga kepentingan tanah itu yang dibeli pada harga lebih murah
berbanding yang dibayar syarikat lain.
“Isu ini sebenarnya dipolitikkan sehingga Tabung Haji mahu jual balik
tanah. Seolah-olah Tabung Haji mahu menyelamatkan 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) walhal ini tidak masuk akal kerana hutang 1MDB adalah
RM42 bilion sedangkan tanah itu dibeli pada harga RM188.5 juta,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Negara hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, seiring dengan hasrat menjadikan TRX sebagai
hab kewangan Islam global, maka pelaburan Tabung Haji di situ sangat
bertepatan bagi menunjukkan kepada dunia bahawa institusi Islam itu juga
mampu berjaya dalam bidang kewangan Islam.
Menurutnya, aset berkenaan akan turut menyumbang kepada pertambahan
jumlah tanah dimiliki bumiputera di negara ini yang hanya tinggal 12
peratus berbanding sasaran yang pernah ditetapkan raja-raja Melayu suatu
ketika dulu iaitu sebanyak 50 peratus.
“Apa sudah jadi kepada sasaran untuk memperkasa pemilikan bumiputera
terhadap tanah-tanah di negara ini yang tinggal 12 peratus kerana banyak
tanah telah diambil tetapi tidak diganti balik.
“Kita tidak mahu akhirnya nanti tanah di TRX juga dikuasai oleh orang
lain tanpa satu pun dimiliki orang Melayu, sekangkang kera pun tidak
ada yang menjadi milik orang Islam kerana telah dijual dan
dipolitikkan,” tegas beliau.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment