Monday, June 22, 2015
“Bina Masjid, Mansuh BTN, Musnah Logo UMNO, Apa Lagi Selepas Ini?
22 Jun 2015, Kuala Lumpur : Selepas terlanjur dan tergesa-gesa mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah
pun berkubur, DAP kini cuba mengalihkan perhatian umum dengan
menimbulkan beberapa provokasi baru.
Isu yang dibangkitkan DAP adalah antara usaha bagi menutup bangkai
gajah, iaitu sebuah konflik rumah tangga yang sedang membengkak dalam
“kelambu” pakatan akibat tergesa-gesa melafazkan cerai.
Tetapi anihnya, DAP masih juga mahu tidur atau bersekedudukan dengan PAS
di dalam kelambu pakatan walaupun keduanya telah berpisah.
Pakatan telah tiada kerana “dibunuh” oleh PAS dan telah pun dikebumikan,
demikian menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan bapanya, Lim
Kit Siang yang juga penasihat parti berkenaan.
Walaupun gabungan pakatan telah berkubur, “roh” mereka masih berlegar
untuk bekerjasama dengan rakan baru atau bergabung semula dengan PAS
bagi menggulingkan pentadbiran BN dalam PRU ke -14.
Gabungan parti daripada “Keluarga 69″ ini nampaknya semakin celaru dan
haru biru. DAP bertindak garang di Pulau Pinang memandangkan PAS hanya
memiliki kerusi tunggal tetapi dalam masa yang sama parti yang menentang
pelaksanaan hudud itu tersepit antara PKR dan PAS untuk meneruskan
kerjasama di Selangor.
Sudah terang lagi bersuluh. Oleh kerana PAS memiliki kerusi yang sama
banyak dengan DAP (15/15) menyebabkan PKR yang kini menerajui Selangor
cukup disayangi oleh kedua parti yang sedang bersengketa itu.
Sebenarnya PKR juga memerlukan belaian kasih daripada PAS dan DAP untuk
menyambung ikatan kasih dalam rumah tangga pakatan di negeri yang
termaju di Malaysia ini.
Jika Selangor terlepas kepada parti lain, bermakna tiadalah lagi PKR.
Parti itu akan terkubur seperti nasib yang menimpa Parti Semangat Melayu
46 dan parti-parti kecil lain yang menjadi serpihan UMNO mahu pun
serpihan PAS.
Sebenarnya taktik DAP mencari isu-isu baru dengan melakukan perang
psikologi bertujuan menutup kepincangan mereka. Taktik itu bukanlah
sesuatu yang pelik bagi DAP apatah lagi ketika parti yang bersekongkol
dengannya sedang berdepan dengan pelbagai masalah.
DAP sentiasa mencari idea untuk membuat provokasi dengan UMNO bagi
menimbus kubur yang digalinya sendiri. Ini bagi memulihkan keyakinan
rakyat yang memilih pakatan dalam PRU ke-13 selain mengalih tumpuan umum
pada masa ini terhadap kemelut yang melanda pakatan.
Bermula dengan rancangan untuk membina masjid di Kelantan, kemudian
mendesak dimansuhkan agensi kerajaan, Biro Tatanegara (BTN) dan akhir
sekali mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menanggalkan
tulisan dan logo UMNO di pejabat parti itu.
Sudah tentu tindakan merobohkan iklan UMNO akan membangkitkan kemarahan
ahli dan pemimpin pertubuhan itu. Penyokong DAP, PKR dan PAS juga akan
berang serta bertindak balas jika tindakan serupa dilakukan.
Janganlah cuba menjolok sarang tebuan atau mengusik hak orang lain jika tidak mahu hak kita diganggu.
Kasihan PAS, setelah sekian lama diperkudakan, DAP dengan mudah
menyingkirkan pemimpin PAS di Pulau Pinang. Kini DAP mahu mengenepikan
pula PAS di Selangor dengan memberi kata dua kepada PKR agar memilih DAP
atau PAS.
Penulis kadang-kadang amat simpati dengan para penyokong PAS. Pada
setiap kali pilihan raya umum mahu pun pilihan raya kecil, jentera PAS
lah yang bertungkus lumus bekerja siang dan malam daripada memasang
poster hingga kepada merayu undi.
Lihat sahaja bagaimana Pemuda PAS dengan penuh semangat mengibar dan
mengarak panji DAP keliling pekan sementara muslimat pula begitu taat
menjulang poster roket dan calon DAP sambil bertakbir di tengah panas
yang terik.
Dalam masa yang sama, penyokong dan pemimpin PAS diutus membelasah
UMNO/BN daripada setiap sudut bagi memenangkan rakan mereka daripada DAP
atau PKR yang bertanding di kawasan ramai pengundi Melayu (Islam).
DAP harus sedar, ramai calon PKR dan DAP menang kerusi Parlimen dan
Dewan Undangan Negeri adalah sokongan pengundi daripada PAS. Bagi
kawasan pengundi yang majoritinya bukan Melayu, DAP tidak perlu risau.
Ketaksuban penyokong PAS yang sentiasa bersama pembangkang memungkinkan DAP membuat pusingan U dan kembali menjilat ludahnya.
Sama-samalah kita tunggu dan lihat episod seterusnya nanti.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment