Tuesday, June 16, 2015
Bantuan Terus Disalurkan Kepada Penduduk Di Ranau Dan Sekitarnya Akibat Gempa Dan Banjir – Najib
16 Jun 2015, Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata bantuan akan terus disalurkan kepada penduduk di Ranau dan
kawasan sekitarnya bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara ekoran
gempa bumi dan banjir yang berlaku.
Menurutnya bantuan itu juga termasuk membaik pulih infrastruktur yang mengalami kerosakan akibat bencana berkenaan.
“Pagi tadi, saya menerima laporan bahawa keadaan banjir di Ranau,
Sabah semakin buruk.
Maka, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
telah mengaktifkan gerakan bantuan dan operasi memindahkan penduduk yang
terjejas,” katanya dalam laman Facebook beliau Selasa.
Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di
Ranau pada 5 Jun lepas meragut 18 nyawa, selain gempa bumi 5.1 pada
skala Richter pada Sabtu (13 Jun) serta beberapa gempa bumi susulan.
Semalam, penduduk di Kampung Mesilau, di Kundasang turut berdepan
banjir lumpur susulan kejadian tanah runtuh kesan daripada gempa bumi
itu.
Berikutan keadaan itu, semua agensi kerajaan termasuk Majlis
Keselamatan Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan
Tentera Malaysia akan memantau keadaan di Sabah secara berterusan dalam
tempoh beberapa bulan ini, terutamanya di Ranau dan kawasan sekitarnya.
“Bersama-sama kita berusaha dan berdoa untuk keselamatan saudara-saudara kita di Sabah,” kata beliau.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment