Sunday, June 21, 2015
Berhenti Salahkan Orang Lain, Palanivel - PM
Shah Alam : Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan memanggil
Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel bagi memberikan penjelasan lanjut
berhubung ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.
Beliau juga menegur pemimpin MIC itu agar berhenti menuding jari dan
mengheret pihak lain di atas kemelut yang melanda parti India terbesar
berkenaan pada masa kini.
"Saya akan memanggil Palanivel untuk menjelaskan komen beliau di PWTC
seperti yang dilaporkan. Beliau sepatutnya berhenti menyalahkan orang
lain dan hendaklah mematuhi keputusan mahkamah & Pertubuhan
Pendaftar (RoS)," tulis Najib dalam laman Twitter hari ini.
Dalam perhimpunan semalam yang diadakan bagi menyatakan sokongan
terhadapnya, Palanivel dilihat menyalahkan Najib di atas pertelagahan
dalam parti pimpinannya sehingga mewujudkan dua puak.
Palanivel berkata, krisis dalam MIC antaranya disebabkan sikap Perdana
Menteri itu yang memihak kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan memberi
tekanan kepada parti berkenaan untuk menolak keputusan pemilihan parti
pada 2013.
"BN dan perdana menteri sendiri terlibat dalam memberikan tekanan kepada
MIC untuk menolak keputusan pemilihan 2013 yang disahkan dan untuk
parti menyebelahi pengkritik.
"Ini cabaran paling besar dihadapi MIC sepanjang 70 tahun sejarahnya.
Isunya mudah dan jelas. Ia satu pertempuran antara yang benar dan salah.
Antara keadilan dan ketidakadilan. Antara ketenteraman dan huru-hara.
Antara yang baik dan jahat," katanya ketika berucap di depan ribuan
penyokongnya yang hadir, semalam.
Krisis MIC mula tercetus ekoran RoS pada Disember lalu mengarahkan parti
itu mengadakan pemilihan semula bagi tiga jawatan naib presidennya dan
23 ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC), kerana ia tidak sah disebabkan
ketidaktelusan dalam proses pemilihannya.
Palanivel kemudiannya membawa kes itu ke mahkamah untuk membuat semakan
kehakiman bagi membatalkan keputusan RoS itu. Mahkamah bagaimanapun
menolak permohonan berkenaan, dan mengekalkan arahan RoS agar parti itu
mengadakan pemilihan semula.
Krisis semakin memuncak apabila Palanivel mengumumkan penggantungan
Timbalannya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, Naib Presiden, Datuk M
Saravanan dan 12 pemimpin lain selama setahun.
Tidak lama selepas penggantungan itu, Subramaniam dan Jawatankuasa Kerja
Pusat (CWC) MIC penggal 2009-2013 yang bermesyuarat menolak keputusan
Palanivel, dan mengisytiharkan pemimpin itu bukan lagi Presiden mahupun
ahli parti kerana melanggar perlembagaan parti ekoran mengheret hal
dalaman parti ke mahkamah tanpa persetujuan CWC yang sah.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment