Sunday, June 21, 2015
Bersama Jaga Imej Negara – Najib
21 Jun 2015, Kuala Lumpur : Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat
supaya tidak memburuk-burukkan imej negara kerana tindakan itu hanya
akan menjejaskan keyakinan negara luar terhadap Malaysia.
Perdana Menteri berkata, imej negara perlu dipertahankan demi memberikan persepsi yang baik kepada Malaysia.
“Persepsi yang baik terhadap negara akan memberi manfaat dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi dan teknologi.
“Inilah yang kita mahu dan perlu kita lakukan. Kita kena sama-sama
mempertahankan imej negara, bukannya merosakkan atau mencarik-carikkan
imej yang kita sedia miliki,” katanya pada Majlis Pengagihan Kurma, Air
Zam-zam dan Kain Baju Melayu Ke Masjid dan Surau-surau Seluruh Parlimen
Pekan di Masjid Jamek Batu 8, Jalan Gambang di sini malam ini.
Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Pada majlis itu, Najib dan Rosmah menyampaikan sumbangan kepada 58 masjid dan surau di kawasan Parlimen Pekan.
Najib berkata, kerajaan komited untuk terus memenuhi keperluan rakyat bagi memastikan kesejahteraan dapat dinikmati.
“Antara yang menjadi perhatian utama kita ialah pembinaan masjid
baharu kerana usaha ini boleh menjadi tempat semua urusan dilakukan
dengan lebih sempurna,’’ ujar beliau.
Terdahulu, dalam majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan di
Masjid Taman LKNP di sini, Perdana Menteri menasihatkan umat Islam
supaya bersyukur dengan nikmat dikurniakan Allah SWT yang tidak
dinikmati umat lain di dunia ini.
Beliau berkata, umat Islam begitu bertuah dengan nikmat dikurniakan
itu, antara yang paling besar adalah Islam dan keimanan terhadap Allah.
“Selain itu, Allah SWT turut memberikan nikmat keamanan dan
keselamatan kepada kita. Kita lihat etnik Rohingya sanggup bergadai
nyawa untuk datang ke Malaysia.
“Apabila sampai di Malaysia, mereka cium tanah negara ini,
seolah-olah tanah ini syurga kepada mereka. Apabila orang luar sujud,
cium tanah Malaysia ini tandanya bertuahnya negara ini pada mereka,”
katanya.
Dalam pada itu, Najib meluangkan masa kira-kira 30 minit mengunjungi bazar Ramadan di bandar Pekan di sini.
Beliau yang tiba di bazar itu pada pukul 5.30 petang kelihatan
membeli beberapa juadah berbuka puasa seperti apam balik, kuih-muih dan
minuman.
Selepas berbuka puasa, Perdana Menteri bersama isteri kemudian
menunaikan solat Isyak dan solat sunat tarawih di Masjid Jamek Batu 8,
Jalan Gambang di sini.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment