Sunday, June 21, 2015

Perpecahan Dalam PAS Tidak Dapat Dielakkan

Kolumnis Menulis...
21 Jun 2015

Beberapa hari lagi, Pas melalui Majlis Syura Ulama akan menentukan kesudahan usul Dewan Ulama yang mahukan Pas Pusat dan majlis tersebut memutuskan hubungan dengan DAP. Ketika Pas baru hendak bermesyuarat, DAP sudah mengambil langkah awal apabila mengisytiharkan pakatan pembangkang yang turut disertai oleh PKR berkecai.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjxH-cSqzTD9XyDI8GN2t5DH7QzkhyBjBT7wfwZTl8tOHBet44Uc5oioJcdrmDJWvbC4z3AdWdpI1fsxEtAMI93Icv6hNl-7iEzuMWJFtPbG_0p54oJh2G2lqiTIo1Ww7CMgxypDhy7Lxgx/s1600/mole-PAS-3.jpg
Tetapi Pas dan PKR tidak mahu menerima hakikat itu apatah lagi jika memikirkan kesan terhadap pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Bagaimanapun DAP sudah memberi kata dua kepada PKR sama ada memilih parti itu atau Pas bagi menganggotai kerajaan tersebut.

Dalam apa keadaan pun, tumpuan lebih diberikan kepada Pas memandang ketika keseluruhan kepemimpinan DAP bersatu untuk mempertahankan keputusan mereka mengatakan pakatan pembangkang sudah berkubur, Pas pula masih bergelut dengan asakan dalaman.

Pemimpin-pemimpin yang tewas dalam pemilihan parti pada 4 Jun lalu masih belum lagi mampu mengubati kedukaan mereka. Justeru pelbagai kenyataan dikeluarkan, malah ada yang menyanggah kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perlu diakui Pas kini sudah berpecah kepada dua kumpulan. Sama ada akan wujud parti baharu hasil perpecahan itu hanya masa akan menentukannya. Tetapi pemimpin-pemimpin PasMa sudah memberi isyarat mereka sedia berbuat demikian, manakala bekas Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu pula menyatakan akan menentukan perkara itu dalam sebulan dua lagi.

Sudah pastilah pihak yang sedang menanti bagaikan ‘yu lapar’ ialah DAP. Parti itu didakwa sudah menunjukkan kecenderungan mereka untuk melantik mana-mana pemimpin Pas yang meninggalkan parti itu bagi jawatan dalam kerajaan negeri khususnya di Pulau Pinang.

Sebab itulah, mereka memberi kiasan apabila bersedia bekerjasama dengan PKR dan mana-mana juga pihak termasuk parti baharu yang berkongsi matlamat untuk menamatkan pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Berdasarkan keadaan itu, kepemimpinan Pas hanya akan membuang masa jika mereka terus berusaha untuk menyelamatkan pakatan pembangkang. Mereka perlu terima hakikat pakatan itu sudah berkubur. Kerjasama dengan PKR di Selangor atas dasar persahabatan dan bukanlah ikatan sebuah pakatan.

Justeru, mereka perlu bersedia disingkirkan daripada kerajaan negeri Selangor jika apa yang pernah disebut oleh Abdul Hadi suatu ketika dahulu iaitu, ‘barua dan broker’ memainkan peranan. Tetapi yang pasti dalam keadaan apapun perpecahan dalam Pas sudah tidak dapat dielakkan lagi.

Oleh itu tidak perlulah Pas bersusah payah mahu menjaga hati PKR atau terus berusaha mempertahankan pakatan pembangkang kerana apa pun mereka lakukan DAP tetap DAP!

Disediakan oleh :

Zulkiflee Bakar
Utusan

No comments:

Post a Comment