Sunday, June 14, 2015
Drama Pas VS Dap…Umpama Kisah “Ayam Dengan Telur”
15 Jun 2015, Kuala Lumpur : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, YB
Mohd Azahar Ibrahim melihat episod siapa patut keluar daripada gabungan
pembangkang antara Pas dengan sekutunya Dap boleh diumpamakan seperti
cerita ‘ayam dengan telur’.
Menurut beliau kecaman demi kecaman dan serangan antara satu sama
lain antara dua sekutu terbabit menunjukkan masing-masing saling
menghalau antara satu dengan yang lain.
Menurut beliau jika sebelum ini pertembungan antara Pas dengan Dap
suam-suam kuku, namun hari ini nampaknya situasi antara kedua parti
berkenaan bakal menjadi lebih kronik dan makin parah.
“Cumanya siapa yang patut keluar atau siapa yang patut ditendang
keluar menjadi persoalan utama. Kisah ‘ayam dengan telur’ siapa dahulu
adalah perumpamaan yang tepat boleh digambarkan terhadap situasi yang
melanda kedua-dua parti berkenaan.
“Masing-masing dilihat cukup tegas dan ada pandangan tersendiri untuk
terus berada di dalam gabungan pembangkang. Dap dengan hujahnya
manakala Pas pula dengan alasan mereka,” katanya kepada UMNO-Online, di
sini, hari ini.
Hubungan antara Pas dengan Dap makin kemuncak pertembungannya setelah
masing-masing saling melontarkan pandangan dan kritikan setelah
tamatnya Muktamar Pas minggu lalu.
Hari ini dilaporkan Pas sekali lagi mencabar parti sekutunya DAP
untuk mengisytiharkan secara terbuka memutuskan kerjasama antara mereka
secara rasmi, sama seperti apa yang dilakukan parti Islam itu.
Ketua Pemuda Pas yang baharu, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
mendakwa DAP tidak berani membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama
apabila dilihat sering kali menekan parti Islam itu.
Rabu lepas, Dewan Ulama sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk
memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa
bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam
pakatan pembangkang.
Ekoran itu, DAP menerusi setiausaha agungnya, Lim Guan Eng
mengalu-alukan peletakan jawatan wakil Pas dalam kerajaan Pulau Pinang
dan menimbulkan pelbagai polemik yang tidak menentu di negeri Selangor.
Pengerusi Dap Selangor, Tony Pua pula dilapor berkata PKR tidak
mempunyai pilihan sama ada membuat keputusan menyokong Dap atau memilih
untuk bekerjasama dengan Pas dalam pentadbiran negeri Selangor.
Azhar seterusnya menambah kemelut berkenaan dijangka akan terus
berpanjangan dan rakyat boleh melihat siapakah ‘jantan’ sebenar dalam
pertembungan tersebut.
“Kita tengoklah nanti…siapa ‘jantan’ dalam episod siapa patut keluar
daripada gabungan pembangkang. Kalau Pas nak kata dia berhak berada di
dalam pakatan pembangkang dan Dap keluar, Dap juga tentunya berhak
berkata demikian. Kita tunggulah nanti,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment