Wednesday, June 17, 2015

Gagal Nyatakan Pendirian : PKR Cuba Main Pusing “Politik Selamat”

17 Jun 2015, Kuala Lumpur : Bekas Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Hidayat Mohd Shariff berkata, PKR  hari ini berada di dalam keadaan tersepit di dalam kemelut Pas dan Dap memandangkan PKR memerlukan kedua-dua buah parti tersebut untuk survival politik mereka.

Menurut Shamsul, beliau yakin bahawa PKR tidak mampu untuk melepaskan Pas keluar dari Pakatan Pembangkang memandangkan selama ini gerak kerja jentera, terutama ketika pilihanraya pakatan pembangkang banyak dibantu oleh kekuatan jentera Pas.

“Tetapi dalam masa yang sama, PKR juga tidak mampu untuk melepaskan Dap. Ini kerana PKR tahu, untuk menumbangkan BN, perlu ada gabungan antara  parti orang Cina dan parti Melayu yang berpengaruh di negara ini. Jadi PKR terpaksa playsafe hari ini demi untuk meneruskan kelangsungan parti mereka, kerana perpecahan pakatan juga memberi impak kepada matlamat politik PKR.

“Selain itu, pandangan saya ini mungkin juga strategi PKR yang tidak mahu membuat sebarang kenyataan di dalam kemelut ini, biarpun Wan Azizah merupakan Ketua Pembangkang. Mereka akan cuba memujuk Dap dan Pas untuk bersatu semula dan di akhir cerita kemelut ini, PKR akan diangkat menjadi hero dalam pakatan pembangkang kerana berjaya menyatukan semula Pas dan Dap,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Syamsul-Hidayat-Mohd-Sharif 
Sementara itu, beliau juga menyifatkan konflik yang berlaku antara Pas dan Dap hari ini telah menyerlah perangai sebenar Dap yang cauvinis.

“Dap bukan tak tahu bahawa Pas sememang sebuah parti Islam yang membawa dasar pemerintahan Islam sebagai matlamat mereka. Tetapi bila Pas mahu melaksanakan apa yang menjadi dasar perjuangan parti mereka, Dap tak boleh terima.

“Sikap kepimpinan Dap itu cukup untuk memperlihatkan betapa cauvinisnya mereka apabila langsung tidak mempedulikan apa perasaan rakyat Kelantan dan apa perasaan rakan kongsi mereka apabila Dap menghentam dan menghina Presiden Pas.

“Ini memperlihatkan Dap hanya mahu orang ikut cakap mereka. Mereka tidak peduli apa hasrat dan kehendak orang lain. Mereka seolah-olah tidak tahu cara untuk hidup dengan  masyarakat berbilang bangsa, walaupun mereka cuba menonjolkan parti mereka itu sebagai sebuah parti multiracial yang dianggotai oleh pelbagai kaum,” tegasnya.

Justeru itu, beliau berpandangan bahawa ketiga-tiga parti di dalam pakatan pembangkang masih belum matang berpolitik dan masih belum matang untuk menerajui negara ini.

“Sebagai contoh kita lihat bagaimana sikap UMNO di dalam BN. Biarpun UMNO dominan di dalam BN, namun UMNO tetap menghormati dan mendengar apa hasrat serta kehendak parti komponen yang berbilang kaum dan agama di dalam BN.

“UMNO tidak pernah mendesak MCA keluar dari BN semata-mata kerana MCA meminta peruntukan yang lebih untuk sekolah Cina. Begitu juga dengan kehendak dan hasrat parti-parti komponen lain yang meminta kerajaan melaksanakan permintaan dari kaum yang mereka wakili.

“Sebab itu saya katakan, UMNO adalah sebuah parti yang benar-benar mengamalkan toleransi antara kaum dan agama, kerana itulah setakat ini BN masih lagi kukuh dengan dianggotai oleh parti komponen dari pelbagai kaum dan agama kerana sikap toleransi dan kematangan UMNO serta parti komponen lain dalam berpolitik,” ujarnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment