Sunday, June 21, 2015
Isu Papan Tanda UMNO Pulau Pinang Perlu Selesai Ikut undang-Undang
21 Jun 2015, Kuala Lumpur : Isu papan tanda UMNO yang dipasang di ibu
pejabat parti itu di Pulau Pinang, yang diturunkan Majlis Perbandaran
Seberang Perai (MPSP) pada Jumaat perlu diselesaikan mengikut
undang-undang, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor.
“Kita negara yang berundang-undang, tidak kira UMNO atau DAP, macam
mana sekalipun kita mesti patuh kepada undang-undang. Jangan kita ambil
undang-undang dalam tangan kita.
“Jadi kalau dia (UMNO atau DAP) tidak ikut syarat tindakan akan
dikenakan oleh pihak berwajib,” katanya ketika ditemui media selepas
Majlis Pelancaran Program Ramadan al-Mubarak Peringkat Nasional oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Masjid Negara, di sini
hari ini.
Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata sekiranya
perkara itu berlaku di Wilayah Persekutuan sama ada di Kuala Lumpur,
Putrajaya mahupun Labuan, pihaknya akan meminta pemilik premis atau
papan tanda untuk membuat permohonan memasang papan tanda.
Katanya, sekiranya permohonan tidak berjaya maka pemilik papan tanda akan diberi masa dua minggu untuk menurunkannya.
Namun, Tengku Adnan menjelaskan pihaknya tidak mengetahui keadaan
sebenar di Pulau Pinang dan tidak pasti sama ada UMNO Pulau Pinang telah
meminta kebenaran untuk memasang papan tanda berkenaan.
“Di Kuala Lumpur, kami akan ambil tindakan kalau dia tak ikut syarat.
Saya percaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain pun akan melaksanakan
apa yang telah dilaksanakan oleh PBT Pulau Pinang (kalau tidak mengikuti
syarat),” katanya.
Dilapor, penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Jumaat
lepas cuba merobohkan struktur tulisan UMNO di depan bangunan parti itu
di Jalan Macalister namun berjaya dihalang anggota parti berkenaan.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment