Friday, June 19, 2015
Jadikan Kumpulan ‘Jebon’ Sebagai Iktibar – Ketua Pemuda Johor
19 Jun 2015, Kuala Lumpur : Ungkapan ‘Jebon” yang cukup meluas menjelang
pemilihan Pas sebelum ini bukan sahaja menarik tumpuan rakyat tetapi
juga kalangan pemerhati dan pendokong parti politik yang lain.
Ramai tertanya-tanya pemimpin manakah yang dikategorikan sebagai
‘Jebon’? Dikatakan ‘Jebon’ ini adalah mereka disifatkan lebih wala’ dan
taat pemimpin-pemimpin dari parti lain sama ada PKR atau Dap. Malah
kumpulan ini juga dikatakan tidak membela presiden ketika presiden
diserang oleh Dap mahupun PKR.
Pendek kata kumpulan ini dilabelkan sebagai mereka yang tidak sehaluan dan mahu menggulingkan presiden sedia ada.
Bagi ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim walaupun pemimpin yang
kalah teruk dalam pemilihan Pas baru-baru ini menafikan bahawa mereka
adalah ‘Jebon’ yang dimaksudkan namun melihat keghairahan tindak tanduk
mereka selepas pemilihan tersebut termasuk bayangan untuk menubuhkan
parti baru maka orang ramai sebenarnya sudah boleh membuat penilaian.
“Biarpun itu urusan dalam parti mereka namun apa yang boleh kita
ambil iktibar adalah tindak tanduk seperti ‘Jebon’ tersebut sebenarnya
hanya akan memusnahkan parti. Golongan ini tiada keikhlasan dalam
perjuangan melainkan untuk agenda peribadi.
“Malah lebih teruk dari itu kumpulan ‘Jebon’ ini lebih bertuankan
atau bersetia dengan pemimpin di luar parti mereka sendiri. Golongan
ini selalunya mengamalkan politik lempar batu sembunyi tangan. Sebab
itu ahli UMNO mesti menolak golongan sedemikian rupa dalam parti”,
katanya kepada UMNO-Online di sini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Tenggara seterusnya berkata gegak
gempita dan apa yang berlaku bukan sahaja di dalam Pas malah di dalam
pakatan pembangkang itu sendiri membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN)
jauh lebih baik daripada mereka.
Malah beliau turut percaya barisan pimpinan UMNO dan BN negeri Johor
akan terus berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik mungkin dan di bawah
kepimpinan Datuk Seri Khaled Nordin sebagai peneraju, rakyat akan terus
diutamakan.
“Kita bukan seperti pembangkang yang hanya bermain kosmetik politik…
ini kerana politik sedemikian rupa tidak mampu untuk bertahan lama,”
ujarnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment