Friday, June 19, 2015
MT Orkim Harmony: Semua Anak Kapal Selamat. Tentera Malaysia dan Indonesia Buru Perampas.
18 Jun 2015, Kuala Lumpur : Kesemua
22 anak kapal tangki MT Orkim Harmony berjaya dibebaskan kira-kira
pukul 2.30 pagi ini, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(Maritim Malaysia).
Timbalan Ketua Pengarah Operasi APMM, Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar
berkata, pembebasan kru kapal itu adalah menerusi rundingan Tentera Laut
Diraja Malaysia (TLDM) dengan perampas kapal berkenaan.
Beliau berkata, kapal MT Orkim Harmony akan dibawa ke Pelabuhan Kuantan dan dijangka tiba seawal 6 petang ini.
“Bagaimanapun, seorang daripada anak kapal berkenaan mengalami cedera
ringan dan akan dihantar ke hospital berdekatan sama ada di Kuantan
atau Terengganu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama
hari ini.
Sementara itu, Panglima TLDM Laksamana, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar
ketika dihubungi berkata, perampas bagaimanapun, berjaya melarikan diri
menaiki bot penyelamat kapal berkenaan.
Sementara itu Tentera Laut Indonesia bersetuju membantu mencari
perampas kapal tangki MT Orkim Harmony yang melarikan diri di perairan
Kepulauan Natuna, kata Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.
Beliau berkata persetujuan itu dinyatakan kepadanya oleh Kepala Staf
Angkatan Laut Indonesia Laksamana Ade Supandi melalui perbualan telefon
dan teks pesanan ringkas awal pagi tadi.
Abdul Aziz berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata lapan perampas kapal tangki berkenaan melarikan diri
daripada kapal tangki itu kira-kira 8.30 malam tadi, menggunakan bot
penyelamat kapal itu.
Setakat ini, selain kerajaan Malaysia, turut membantu dalam operasi
memburu perampas berkenaan ialah Tentera Udara Diraja Australia yang
menyediakan pesawat P3C Orion.
Abdul Aziz berkata operasi memburu berkenaan turut disertai Tentera
Udara Diraja Malaysia yang menyediakan pesawat C-130 Hercules dan
B200T-Beechcraft.
TLDM dalam pada itu mengerahkan KD Pahang, KD Terengganu dan KD Jebat disertai dua helikopter Super Lynx dan Fennec, katanya.
Beliau berkata TLDM juga sedang meminta kerjasama Tentera Laut Vietnam dan Thailand untuk membantu operasi berkenaan.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment