Tuesday, June 16, 2015

Kemelut Pas – Dap Kini Setahap Lebih Tinggi Dari Maharaja Lawak

16 Jun 2015, Kuala Lumpur : Drama kemelut Dap dan Pas kini sudah boleh disifatkan setahap lebih tinggi daripada rancangan Maharaja lawak apabila Dap hari ini mengisytiharkan bahawa pakatan pembangkang sudah tidak lagi wujud.

Namun lawaknya Pas menegaskan pakatan masih wujud kerana Pas masih lagi bekerjasama dengan PKR.

Juseteru bagi bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Ruslan Kasim situasi terkini Dap dan Pas amat melucukan berdasarkan kenyataan yang diberikan oleh pemimpin dari kedua-dua buah parti tersebut yang saling sanggah menyanggah sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan penyokong dan ahli mereka sendiri.

Menurut beliau, adalah sesuatu yang amat menggelikan hati mengalahkan aksi lawak peserta Maharaja Lawak apabila melihat  Dap dan Pas mahu memutuskan hubungan masing-masing, namun masing-masing tetap mahu kekal di dalam pakatan pembangkang.

“Pas baru-baru ini sudah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Dap, namun  mereka tetap mahu berada di dalam pakatan. Apabila Guan Eng membuat pengumuman bahawa pakatan pembangkang sudah tidak lagi wujud, maka pemimpin Pas pula mengatakan bahawa itu ada kenyataan peribadi setiausaha agung Dap semata-mata.

“Sedangkan, bagi saya Pas sudah sepatutnya tidak teragak-agak untuk keluar dari Pakatan Pembangkang memandangkan muktmar mereka baru-baru ini sudah sebulat suara memutuskan hubungan dengan Dap. Jika mereka terus berada di dalam pakatan, bagaimana usaha sama dapat dilakukan apabila Dap juga sudah berpatah arang berkerat rotan dengan Pas,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
DAP-umum-bubar-pakatan
Tambah Ruslan, sekiranya Pas mengharapkan mereka kekal di dalam pakatan dengan hanya dengan kerjasama bersama PKR, maka harapan Pas itu masih samar-samar. Ini disebabkan PKR sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada mereka akan berpihak kepada Dap atau pun Pas.

“Sepanjang konflik antara Pas dan Dap, kita lihat PKR hanya diam membisu seribu bahasa. 

Pemimpin PKR hanya tunggu dan lihat apa perkembangan seterusnya. Saya yakin, mereka kini sedang mengira untung rugi politik mereka untuk membuat keputusan sama ada untuk bersama Pas atau pun Dap.

“PKR ini bagi saya seperti lalang, mereka akan tunduk kepada parti mana yang kuat dan boleh mempertahankan survival politik PKR itu sendiri. Bahkan sebelum ini, kita lihat banyak kenyataan pemimpin PKR sebenarnya lebih memihak kepada Dap dan bukan kepada Pas, “ katanya lagi.

Beliau seterusnya membidas kepimpinan pakatan pembangkang yang disifatkan cakap berdegar-degar namun tidak berpijak di bumi yang nyata.

“Kalau dulu, bukan main lagi mereka mendabik dada kononnya pakatan pembangkang dianggotai oleh ramai golongan profesional dan mampu untuk menggantikan BN sebagai parti pemerintah. 

Namun hari ini, kita dapat lihat betapa bercelaru kepimpinan mereka sehingga membuatkan pakatan akhirnya terkubur.

“Apa yang berlaku di dalam pakatan ini jelas membuktikan bahawa kepimpinan pakatan sendiri tidak punyai keyakinan diri untuk mentadbir dengan baik. Mereka tak punyai pengalaman untuk menangani krisis yang berlaku di dalam parti sendiri.

“Jadi bagaimana kita, sebagai rakyat mahu meletakkan keyakinan terhadap mereka sedangkan pemimpin pakatan sendiri tidak yakin mereka mampu untuk mentadbir negara. Sedangkan kemelut dalam parti pun mereka tak mampu nak tangani, bagaimana untuk mengurus tadbir negara yang sudah tentu lebih besar masalahnya berbanding masalah parti,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menyeru kepada rakyat di negara ini agar tidak meletakkan harapan dan kepercayaan terhadap parti yang jelas tidak mampu dan tidak berpengalaman untuk mentadbir negara.

“Parti di dalam pakatan pembangkang hanya memikirkan survival parti mereka sahaja. Mereka hanya saling guna mempergunakan sesama sendiri demi kepentingan politik masing-masing, bukannya benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat seperti mana yang mereka laungkan selama ini,”tegasnya. 

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment