Tuesday, June 16, 2015

Rakyat Tidak Perlu Terpengaruh Dengan Pakar Ekonomi Mee Segera

16 Jun 2015, Kuala Lumpur : “Zaman media sosial ini kita diperlihatkan seakan-akan sudah menjadi kecenderungan segelintir individu dan pihak yang akan mengulas apa sahaja isu yang melintas di hadapan mata mereka terutama menyentuh bab ekonomi, yang paling hangat diperkatakan”, ujar Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Muhammad Nazri Mohd Amin.

Menurut beliau lagi, setiap individu perlulah bertanggungjawab terhadap segala kenyataan yang dikeluarkan dan bukannya hanya mengharapkan populariti semata-mata.

“Apabila ada sesuatu fakta yang diperjelaskan tidak seperti yang diharapkan, tanpa segan silu mereka tetap tidak mengakui kesilapan sendiri, bahkan ada yang tetap menegakkan benang yang basah.
zeti-akhtar-aziz-pakar-ekonomi-najib-malaysia-diiktiraf-dunia
“Seolah-olah mereka ini lebih pakar daripada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang pernah beberapa kali diiktiraf bank dunia dan badan-badan ekonomi negara,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah hebat lagi apabila mereka ini terpengaruh dengan isu-isu yang dibawa oleh pihak pembangkang, yang mengatakan keadaan ekonomi negara berada dalam keadaan kritikal malahan sehingga tahap mengatakan negara akan bankrap.

“Walhal, Bank Negara telah mengeluarkan beberapa kali kenyataan bahawa ekonomi Malaysia terus berada pada landasan kukuh di sebalik kesuraman ekonomi dunia termasuk kedudukan ringgit Malaysia yang disifatkan sebagai keadaan sementara.

“Pembangkang, sebagaimana diketahui umum dan sememangnya sudah menjadi budaya mereka, pasti akan menggambarkan sisi negatif kerajaan.

“Apa sahaja usaha kerajaan di dalam menjana ekonomi negara, sebagai contoh yang terkandung di dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), mereka akan cuba menyembunyikan dan memperkecil-kecilkan usaha kerajaan itu,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang itu.

Jika dahulu hanya popular ‘sembang di warung kopi’ untuk membicarakan dan menyampaikan sesuatu isu, tetapi kini di zaman teknologi maklumat di hujung jari dengan aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, WeChat dan sebagainya, sudah pasti kesannya semakin cepat diterima, katanya.

“Sebab itu rakyat perlu terlebih dahulu menyelidiki dan mendapatkan kesahihan sesuatu maklumat daripada pihak yang berkaitan.

“Bukannya terus mempercayai bulat-bulat apa sahaja maklumat yang diterima daripada ‘pakar ekonomi mi segera’ dan tidak bertauliah. Kesannya mampu mencetuskan rasa panik di kalangan individu terbabit dan rakyat amnya,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan jentera kerajaan dan parti perlulah menggiatkan usaha dan lebih proaktif di dalam memberi penerangan serta memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu-isu yang ditimbulkan supaya mereka ini tidak berterus-terusan ditipu oleh pembangkang.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment