Sunday, June 28, 2015
Kenapa Nak Tunggu dan Lihat!!!! Kebal Sangatkah Portal-Portal Ini ?
Kerajaan perlu bertindak Tegas dalam hak begini...Jangan bagi muka sangat kepada Media yang Pro Pembangkang ni
TINDAKAN beberapa portal propembangkang menyiarkan pelbagai tuduhan,
tohmahan dan fitnah kepada kerajaan serta memutarbelitkan sesuatu berita
bukanlah perkara baharu, malah sudah entah beribu kali berlaku.
Malangnya sebut sahaja sama ada Malaysiakini, The Malaysian Insider,
Sarawak Report atau The Edge, media-media ini seolah-olah mempunyai
kekebalan sendiri apabila tiada tindakan diambil oleh mana-mana pihak
terhadap kebiadaban mereka memanupulasi atau memutarbelitkan berita.
Walaupun mereka mengetahui sesuatu berita itu akhirnya terbukti tidak
betul atau salah, namun tiada keinsafan untuk memohon maaf atau menarik
balik berita atau artikel yang disiarkan. Mereka seolah-olah bersikap,
‘apa kau orang boleh buat’.
Selain isu 1MDB, dalam kes pembelian hartanah oleh Mara di Australia,
The Malaysian Insider dan Malaysiakini dengan sewenang-wenangnya
memutarbelitkan kenyataan Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa melalui
tajuk berita, ‘Annuar: PM lulus urusan beli hartanah Mara’, sedangkan
dalam sidang akhbar yang diadakan Annuar sama sekali tidak menyebut nama
mana-mana individu.
Itu hanya salah satu kes yang menunjukkan bagaimana biadabnya kedua-dua
portal berita berkenaan memutarbelitkan sesuatu berita mengikut
kepentingan mereka tanpa mengambil kira apa kesannya kepada negara.
Begitu juga dengan Sarawak Report yang begitu beria-ia menyerang
kerajaan dalam isu 1MDB tetapi apabila terbukti mereka mendapat bahan
daripada sumber yang meragukan, portal berita tersebut mengamalkan sikap
‘pekakkan telinga, butakan mata, tutupkan hati’ untuk menerima
kebenaran.
Kesemua portal ini menganggap mereka mempunyai kebebasan mutlak. Sebagai
media atau wartawan mereka berhak menulis apa sahaja apatah lagi jika
boleh memburuk-burukkan imej kerajaan.
Persoalannya sampai bilakah, ketiga-tiga portal berita ini harus
dibiarkan ‘bermaharajalela’ dengan menyiarkan berita-berita yang boleh
menjejaskan imej kerajaan dan negara? Tidak salah kalau mereka
melaporkan perkara yang betul tetapi acap kali kita dapati mereka hanya
menyiarkan berita yang bukan sahaja meragukan tetapi palsu serta
berdasarkan kepada fakta tidak betul.
Walaupun kita mengetahui mereka cenderung menyokong pembangkang, namun
itu hak mereka untuk menyebelahi sesiapa yang diinginkan, tetapi
janganlah sampai menjadi ‘balaci’ untuk menyebarkan fitnah, tohmahan dan
tuduhan tidak berasas kepada kerajaan dengan memutarbelitkan sesuatu
berita.
‘Satu kehebatan’ portal-portal tersebut ialah menyiarkan sesuatu berita
dan kemudiannya membiarkan pembaca mereka membuat sebarang ulasan dengan
peringatan portal berita itu tidak bertanggungjawab. Sama ada pembaca
mereka akan mengutuk, memaki-hamun atau mencerca mana-mana pihak, portal
berita tersebut akan menjawab, “kami tidak bertanggungjawab”.
Demikianlah begitu mudahnya, mereka mempermainkan dunia kewartawanan dan
memperalatkan dunia tanpa sempadan melalui perkembangan teknologi
maklumat. Tetapi apa yang menjadi persoalan kenapakah tidak ada tindakan
oleh pihak berkuasa terhadap portal-portal berkenaan?
Apakah mereka benar-benar berpengaruh atau ‘kebal’ sehinggakan tiada
mana-mana agensi yang berani mengambil tindakan terhadap kebiadaban
mereka memutar belitkan sesuatu berita? Atau adakah pihak tertentu
bimbang kerajaan akan dituduh menyekat kebebasan media?
Kebebasan ada hadnya, selagi kebebasan itu digunakan demi untuk kebaikan
rakyat dan membangunkan negara, silakan… tiada siapa yang melarang.
Tetapi kebebasan yang diamalkan oleh portal-portal berita itu ada ketika
sudah melampaui batas sehingga boleh menjejaskan imej negara.
Kita tidak tahu siapa di belakang portal-portal berita tersebut yang
dilihat mempunyai keberanian luar biasa untuk menyeleweng atau memesong
sesuatu fakta dalam pemberitaan mereka tetapi yang pasti jika
portal-portal seumpama itu tidak diberi pengajaran supaya melaksanakan
tugas kewartawanan dengan bertanggungjawab selagi itulah, mereka
bagaikan ‘hantu raya tidak bertuan’.
Diharapkan agensi atau kementerian yang terlibat tidak mengamalkan sikap
toleransi tidak bertempat dalam berhadapan dengan kebiadaban
portal-portal berita berkenaan kerana sesuatu tindakan mereka pasti ada
agendanya? Apakah agenda itu? Semua orang tahu.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment