Thursday, June 18, 2015
Kenapa Takut Dengan Islam......Sami Buddha Bantah Beri Bantuan Pada Orang Rohingya
Penganut Buddha tegar yang disokong golongan sami mengadakan bantahan di
Rakhine terhadap bantuan yang ditawarkan kepada pelarian terkandas
dalam bot di Teluk Bengal.
Ketegangan antara penganut Buddha dan etnik Islam Rohingya di Rakhine -
salah satu negeri termiskin di Myanmar - memaksa kebanyakan mereka
tinggal di kem pelarian sejak tercetusnya kekacauan pada 2012.
Puluhan ribu etnik Rohingya melarikan diri dari Rakhine sejak beberapa
tahun kebelakangan ini, dengan disertai pendatang dari Bangladesh yang
mahu berhijrah ke Malaysia dan Indonesia.
Penghijrahan itu mula mendapat perhatian sejak kerajaan Thailand
mengambil tindakan keras ke atas penyeludupan manusia bulan lalu,
menyebabkan pelarian ditinggalkan di laut dan darat.
Seramai 4,500 etnik Rohingya dan pendatang Bangladesh sudah terdampar di
rantau ini, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
menganggarkan kira-kira 2,000 yang lain masih terperangkap di laut.
Selepas berhadapan tekanan antarabangsa, tentera laut Myanmar
menyelamatkan lebih 900 pendatang dan dibawa ke Rakhine manakala 150
dihantar pulang ke Bangladesh.
Sementara itu, beberapa yang lain masih ditahan di kem sempadan sehingga
Bangladesh dan Myanmar menentukan kewarganegaraan asal mereka.
Bantuan itu sekaligus menimbulkan kemarahan penganut Buddha konservatif
yang mahu etnik Rohingya diusir dari Myanmar dan menggesa kerajaan
supaya tidak membantu mereka yang terkandas di Teluk Bengal.
Menurut saksi yang menyertai bantahan itu semalam, kira-kira 500 orang
yang disokong puluhan sami berkumpul tanpa menghiraukan hujan lebat di
Sittwe sambil melaungkan slogan.
Ketua bantahan di Sittwe, Aung Htay berkata, demonstrasi serentak akan diadakan di seluruh negeri ini.
“Kami membantah Benggali dihantar ke Rakhine,” katanya
Kebanyakan warga Myanmar termasuk kerajaan menggunakan perkataan Benggali untuk merujuk kepada etnik Rohingya.
Dianggarkan 1.3 juta etnik Rohingya di negara ini tidak diberikan
kewarganegaraan dan menghadapi kesukaran untuk bergerak, mengembangkan
keluarga dan mendapat pekerjaan.
Seorang lagi penganjur bantahan Tin Maung Than menjangka lebih 200
menghadiri protes di Maungdaw, lokasi paling hampir dengan tempat
tahanan pelarian terbabit.
“Kami sedang mengumpulkan orang ramai untuk mengadakan bantahan terhadap orang Benggali di sini,” katanya.
Risalah mempromosikan rancangan bantahan itu diedarkan kepada orang
ramai yang menggesa mereka ‘lindungi masa depan Rakhine’ dan merujuk
pendatang sebagai ‘Kalar’, perkataan bersifat perkauman untuk
menggambarkan penduduk Islam Myanmar.
Sentimen anti-Islam semakin meningkat di seluruh Myanmar beberapa tahun
kebelakangan ini dengan sami radikal dituduh mencetuskan ketegangan
agama.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment