Monday, June 15, 2015
Kerajaan Komited Perkukuh Kewangan Awam
15 Jun 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan
terus komited untuk mengukuhkan kewangan awam tanpa menjejaskan
pertumbuhan, di samping menyediakan sokongan fiskal untuk inisiatif
pembaharuan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Sasaran fiskal kita bagi 2015 kekal kukuh. Defisit ini akan terus
dikurangkan kepada 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) berbanding 3.4 peratus pada 2014,” kata beliau pada mesyuarat
Majlis Konsultasi Bajet 2016 di sini.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata hutang persekutuan akan dihadkan dalam 55 peratus daripada KDNK.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dan
Datuk Chua Tee Yong, serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa
dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.
Najib berkata kerajaan menyasar untuk mempercepatkan pelaburan swasta
dalam sektor ekonomi yang produktif dan menggesa sektor swasta supaya
secara agresif mengeksploitasi peluang yang ada dalam Blueprint Sektor
Perkhidmatan.
Sektor swasta kini menguasai 68.5 peratus daripada aktiviti ekonomi,
dengan pelaburan swasta terdiri daripada 16.6 peratus daripada KDNK pada
akhir tahun 2014.
Najib berkata Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), yang akan ditubuhkan pada
akhir tahun, menyediakan peluang yang luas bagi perusahaan kecil dan
sederhana (PKS) dan boleh membantu memenuhi sasaran kerajaan untuk
mencapai 41 peratus sumbangan sektor itu kepada KDNK pada 2020.
Sumbangan PKS kepada KDNK kini pada 35 peratus.
Beliau berkata memandangkan hubungan pelaburan dan perdagangan antara
rantau yang kukuh, PKS boleh berkembang melangkaui pasaran domestik dan
mengukuhkan kedudukan sebahagian daripada rantaian nilai serantau dan
global.
“Saya melihat peluang yang luas bagi perniagaan kita, khususnya PKS
dalam memanfaatkan kedudukan dinamik rantau ini,” kata Najib.
Beliau berkata Malaysia yang bersepadu dengan baik dalam ekonomi
global melalui aliran modal dan perdagangan terus menerima kesan
daripada ketidaktentuan yang wujud dalam sektor luaran.
Di dalam negara, beliau berkata hutang isi rumah kekal tinggi pada
87.6 peratus daripada KDNK, walaupun meningkat pada kadar perlahan.
Menurut Najib, halangan lain ialah jangkaan penurunan harga komoditi,
terutamanya minyak mentah, gas asli cecair dan minyak sawit, manakala
penggunaan swasta akan menyaksikan kesederhanaan kerana tekanan inflasi
sekali sahaja daripada pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Perdana Menteri berkata pendapatan tambahan daripada GST itu akan
digunakan untuk meningkatkan lagi potensi pertumbuhan ekonomi, menambah
baik kesejahteraan rakyat, menjana pekerjaan dan menggalakkan
pertumbuhan berkualiti.
Bajet 2016 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 23 Okt, akan
memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan pertumbuhan, meningkatkan
keterangkuman, serta memastikan kemampanan fiskal.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment