Monday, June 22, 2015
Kerjasama PAS, DAP & PKR Masih Diteruskan - Wan Azizah
Bukit Mertajam : Biarpun Pakatan Rakyat (PR) telah diisytihar tidak lagi
wujud, namun kerjasama dan semangat dalam menjalin hubungan kerja antara
ketiga parti iaitu PAS, DAP dan PKR masih diteruskan, kata Presiden PKR
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis sumbangan Ihya Ramadan kepada
surau dalam Parlimen Permatang Pauh di Masjid Jamek Kampung Pelet dekat
sini Ahad, Dr Wan Azizah berkata beliau mempunyai pandangan optimis
terhadap semangat yang ada dalam pakatan pembangkang.
Pada Rabu lepas, beliau dilaporkan mengakui bahawa gabungan politik
pakatan pembangkang tidak lagi berfungsi secara formal. Keadaan itu,
katanya, berlaku berikutan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP
diterima tanpa bahas pada Muktamar PAS Ke-61, manakala Jawatankuasa
Eksekutif Pusat DAP pula telah mengumumkan 'penamatan riwayat' PR,
Mengulas lanjut, Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata berdasarkan
pembacaan dan pengamatannya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh
pemimpin PAS sama ada yang tewas atau menang dalam pemilihan jawatan
parti itu, mereka telah memberi mesej bahawa ketiga-tiga parti terbabit
akan terus bersama-sama.
Selasa lalu, media melaporkan DAP mengisytiharkan PR tidak lagi wujud.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keputusan yang dibuat Muktamar
PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' PR.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment