Tuesday, June 16, 2015

Korea Selatan Nyatakan Minat Sertai Forum Antarabangsa, Perhimpunan Agung UMNO

16 Jun 2015, Kuala Lumpur : Kaunselor Korea Selatan ke Malaysia, H.E Jeong Hong Geun menyatakan hasrat untuk turut serta menghadiri Forum Antarabangsa bersempena Perhimpunan Agung UMNO pada tahun ini.

Beliau berkata demikian dalam kunjungan hormatnya kepada Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Wira Ab Rauf Yusoh di pejabatnya di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Sementara itu, Rauf dalam maklum balasnya berkata, bahawa UMNO sememangnya sedia dan terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik di seluruh dunia malah turut menawarkan sekiranya Korea Selatan berminat untuk membuka ‘ruang pameran’ bagi mempromosikan negara mereka.
DSC_7498_editedSLIDER
“Pada kali ini banyak negara telah menyatakan hasrat untuk menyertai Forum Antarabangsa dan kita juga berbesar hati sekiranya Korea Selatan turut berminat.

“Ini kerana, forum inilah merupakan medan terbaik untuk bertukar-tukar pandangan berkaitan politik. Penyertaan ini pasti dapat mengeratkan lagi hubungan dua parti politik dan negara, yang mana pastinya banyak yang akan dapat kita pelajari dari Korea Selatan khususnya dalam perkembangan ekonomi mereka,” jelas beliau.

Dalam pertemuan itu juga, Jeong menyatakan hasrat untuk bertukar-tukar wakil negara seperti yang dilakukan Malaysia bersama Negara China.

Bagi Rauf, hasrat tersebut amat baik bagi kedua-dua negara untuk saling bertukar-tukar idea serta pandangan dalam usaha mengukuhkan pembangunan ekonomi dan sosial yang lebih besar di negara masing-masing.

“Malaysia juga banyak yang mahu dipelajari dari Korea Selatan khususnya dari sudut pembangunan ekonomi. Lawatan sambil belajar kelak sudah pasti membuka lebih ruang kepada Korea Selatan dan Malaysia di dalam menjalinkan hubungan diplomatik,” katanya. 

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment