Monday, June 15, 2015
TH Patut Batal Jual Tanah TRX – Ahli Dewan Rakyat
15 Jun 2015, Kuala Lumpur : Dewan Rakyat hari ini mahu Lembaga Tabung Haji
(Tabung Haji) membatalkan cadangan menjual tanah seluas 0.63 hektar di
Tun Razak Exchange (TRX) yang dibeli daripada 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Gesaan padu itu dibuat lapan wakil Kelab Penyokong Barisan Nasional
(BNBBC) termasuk daripada Gerakan ketika Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggulung perbahasan usul
Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Tidak terkecuali, Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad (Pas-Pasir Puteh)
turut memuji langkah Tabung Haji membeli tanah berkenaan walaupun pada
mulanya beliau mengakui bahawa isu tersebut menjadi polemik politik.
Tampil memulakan gesaan, Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam)
berkata, Tabung Haji akan memperoleh keuntungan yang jauh lebih besar
pada masa hadapan jika membatalkan hasrat untuk menjual tanah berkenaan.
“Dari sudut perniagaan, tanah berkenaan akan mendatangkan lebih banyak keuntungan jika tidak dijual,” katanya.
Pandangan Teck Meng itu kemudian disokong Datuk Seri Abdul Ghapur
Salleh (BN-Kalabakan) apabila berkata, pihak pengurusan Tabung Haji
telah terbukti mempunyai kepakaran dalam perniagaan selain telah
menjalankan amanah dengan sebaiknya sejak dahulu lagi.
“Kita minta tanah ini jangan dijual kerana dalam perniagaan tanah, semakin lama disimpan semakin naik harganya,” tegasnya.
Seterusnya gesaan itu disambut pula Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi)
dengan berkata, cadangan penjualan tanah itu sebelum ini dibuat hanya
disebabkan persepsi politik.
“Kalau persepsi itu sudah tidak ada, apa kata menteri supaya tanah
ini tidak dijual dan dipertahankan untuk pembangunan demi keuntungan
lebih besar kepada Tabung Haji pada masa hadapan,” katanya.
Selain itu, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid (BN-Kota
Tinggi); Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang); Datuk Ikmal Hisham
Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) dan Datuk Othman Aziz (BN-Jerlun) turut
menyatakan sokongan mengenai perkara yang sama.
Terharu dengan desakan dan sokongan padu itu, Jamil Khir memaklumkan
bahawa beliau akan membawa perkara itu kepada Ahli Lembaga Pengarah
Tabung Haji untuk menilai semula cadangan penjualan tanah berkenaan.
“Saya mendapat sokongan yang cukup luar biasa yang mana kita dapat
bergabung hari ini dan memberikan sokongan supaya Tabung Haji tidak
menjual tanah tersebut dan saya mengambil perhatian tinggi,” katanya.
Dipetik daripada sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment