Sunday, June 28, 2015
Mara Serah Dokumen Pembelian Hartanah Di Australia Kepada SPRM...Berani kerana Benar
Putrajaya : Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Tan Sri Annuar Musa
menyerahkan beberapa dokumen berkaitan pembelian hartanah di Melbourne,
Australia oleh anak syarikatnya Mara Incorporated Sdn Bhd kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau yang hadir di Ibu Pejabat SPRM di sini pada 12.10 tengah hari,
Jumaat untuk menyerahkan dokumen itu kepada Pengarah Siasatan SPRM Datuk
Mohd Jamidan Abdullah, bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Kita minta supaya perkara ini diberi keutamaan dan disegerakan serta
memaklumkan bahawa Mara ingin memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM,"
katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu.
Annuar berkata, Mara juga akan melantik juruaudit dari luar negara
sebagai tambahan kepada audit dalaman yang sedang dijalankan serta
siasatan oleh SPRM.
"Audit dalaman tidak memadai...walaupun SPRM menjalankan tugas mengikut
kaedah dan peraturan tertentu tetapi dari segi kita, kita mesti melihat
juga audit pengurusan untuk diperkemaskan pada masa akan datang,"
jelasnya.
Ditanya sama ada pihaknya sudah mengenal pasti dalang di sebalik kes itu, Annuar hanya berkata: "more or less".
Berkenaan tindakan yang akan dikenakan kepada pegawai yang disyaki
terlibat, beliau berkata ia tertakluk kepada kuasa Menteri Kemajuan Luar
Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mara pada 1 Julai ini.
Mengulas mengenai kenyataannya berhubung kelulusan pembelian hartanah di
Melbourne itu yang diputar belit oleh sesetengah media, Annuar berkata
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meluluskan pembelian
itu pada 10 Mei.
"Kemudian Mara dan kementerian membawa rayuan kepada Majlis Ekonomi
untuk dibincangkan kerana ia melibatkan pinjaman luar negara dan (Majlis
Ekonomi) luluskan hanya 30 peratus dana Mara digunakan untuk pembelian
itu. Bakinya dipinjam daripada bank luar negara," jelasnya.
Dua hari lepas, Najib meluahkan kekecewaannya apabila kenyataan Annuar
berhubung pembelian hartanah di Melbourne itu diputar belit oleh
sesetengah media sambil menjelaskan keputusan mengenai pembelian
hartanah itu dibuat secara konsensus oleh Majlis Ekonomi.
Najib berkata sekiranya ada pihak yang didapati menipu atau cuba
memperdaya ahli-ahli mesyuarat Majlis Ekonomi dengan butiran yang tidak
tepat atau lengkap, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka
yang bertanggungjawab.
Sementara itu, menerusi kenyataan hari ini, Mohd Jamidan memaklumkan
telah menghantar pegawainya ke Melbourne untuk mendapatkan dokumen dan
maklumat yang boleh membantu siasatan.
"SPRM telah memanggil beberapa individu dan akan memanggil lagi individu
lain yang ada kaitan dengan isu ini untuk diambil keterangan.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ada maklumat dan bukti boleh juga
menyalurkan kepada SPRM," katanya.
Dipetik daripada sumber : PeneranganPemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment