Sunday, June 28, 2015
Mengapa Hadi Tak Ambil Tindakan Terhadap Ahli Langgar Disiplin Parti...?
Jika direnung kembali... sehingga kini Presiden PAS Datuk Seri Abdul
Hadi Awang hanya berani bercakap dan tidak mengambil tindakan tegas
terhadap individu-individu yang mencalarkan imej parti Islam itu
termasuk mengugut hendak tubuh parti baru.
Menurut Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara
Malaysia Md Shukri Shuib peringatan tegas Haji Hadi mengenai betapa
perlunya anggota dan pemimpin PAS istiqamah dengan perjuangan sebenar
parti, perlu disusuli dengan tindakan tegas terhadap mereka yang
melanggar etika, demikian menurut seorang penganalisis politik.
Bernama melaporkan Md Shukri Shuib berkata setiap individu dalam PAS
termasuk para pemimpin, tidak wajar sewenang-wenang bergerak bebas
dengan pertubuhan yang tidak lagi mesra dengan parti itu.
"Sekiranya tindakan tegas termasuk pemecatan tidak dilakukan, ia memberi
gambaran bahawa Presiden serta kepimpinan PAS sedia ada hanya berani
bercakap tetapi tidak berani mengambil tindakan atas kepincangan yang
berlaku. Apakah PAS tidak mempunyai lembaga disiplin parti yang boleh
mengambil tindakan tegas dalam hal ini?
"Terdapat beberapa pemimpin PAS yang sering mengeluarkan kenyataan
seolah-olah mereka bukan lagi ahli PAS terutama apabila secara
terang-terangan menyebut tentang penubuhan parti Islam baharu bagi
mengantikan PAS dalam Pakatan Rakyat. Adakah kenyataan mengenai
penubuhan parti baharu sebagai pesaing kepada PAS tidak dianggap
menderhakai perjuangan PAS?," katanya.
Pada 23 Jun, Abdul Hadi melalui satu surat terbuka kepada seluruh
anggota PAS, yang dipapar di laman sosial Facebook miliknya,
mengingatkan setiap ahli PAS mestilah bersama dengan jemaah yang
ditubuhkan di atas prinsip dan matlamat berakidah yang teguh bersama
konsep pendekatannya, selain wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas
serta sejarah PAS.
Berpendapat bahawa PAS tidak sepatutnya kelihatan berani hanya ketika
berdepan dengan parti lawan, Md Shukri berkata PAS sebaliknya perlu
bertanggungjawab mendidik dan mendisiplinkan anggota serta pemimpin
parti mereka terlebih dahulu.
"Inilah kononnya kesan daripada gelombang kebangkitan 'PAS for All' yang
menerima ramai keahlian baharu PAS tanpa soal. Akhirnya, ia seolah-olah
menjadikan PAS sebagai parti yang boleh dikawal menggunakan alat
kawalan jauh, selain dipengaruhi ideologi dari luar yang berjaya masuk
ke dalam parti sekian lama tanpa disedari.
"Justeru, kepimpinan baharu PAS harus segera mengadakan audit disiplin
ahli dan pemimpin parti itu bagi memperkukuh dan menghindari istilah
'PAS import' yang boleh merosak parti. Ini kerana mereka menjadi ahli
PAS dan pemimpin, tetapi berideologi individu lain sebagai ikutan dan
disebabkan itulah wujud golongan yang dikatakan pro-Anwar dan pro-DAP
mutakhir ini," katanya.
Beliau berkata PAS kini perlu mengutamakan soal membentuk semula
keanggotaan dan kepimpinan parti mengikut acuan PAS pimpinan ulama,
serta tidak terus membiarkan beberapa anggota dan pemimpinnya bebas
mengeluarkan kenyataan bercanggah, sekali gus menambah pergolakan
dalaman parti itu.
"Ahli dan pemimpin import ini tidak memahami perjuangan dan sejarah
serta motif PAS dalam berpolitik. Mereka boleh menggadaikan PAS sebagai
'pajakan politik' kepada parti lain dan itulah yang terjadi semasa
kempen dalam pemilihan pada awal Jun yang sepatutnya menjadi iktibar
kepada PAS," katanya.
Dipetik daripada sumber : PemudaSEREMBAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment