Monday, June 22, 2015

Pejabat Dap Dibakar, Simbah Cat: Jangan Tuduh UMNO! – Zainal Abidin

22 Jun 2015, Nibong Tebal : Jangan tuduh UMNO! Itu tegas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkaitan tiga kejadian khianat melibatkan pejabat Dap negeri sejak dua hari lalu.

Jelasnya, insiden membakar pusat khidmat Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Dap-Padang Kota dan menyimbah cat di Ibu Pejabat Dap Pulau Pinang tidak ada kena mengena dengan UMNO dan sikap sering menyalahkan UMNO sekiranya ada musibah melanda parti itu adalah taktik politik basi pembangkang.
IMG-20150619-WA007
“Mengapa setiap kali ada perkara buruk yang menimpa Dap maka UMNO yang akan dikaitkan sedangkan mereka sendiri banyak berdepan masalah. Saya ingatkan, jangan sesekali mengaitkan UMNO dengan perkara buruk sebegini. UMNO adalah sebuah parti yang berintegriti dan tidak akan melakukan perkara-perkara yang keji dan tidak beretika.

“Bukan hanya UMNO yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran Dap di Pulau Pinang, jadi saya berharap agar biarlah polis yang menyiasat perkara ini. Sekali lagi saya tegaskan, jangan kaitkan UMNO,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Beliau turut mengulas mengenai tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merobohkan struktur tulisan UMNO di Ibu Pejabat parti terbabit di sini sebagai satu provokasi paling tinggi Dap kepada UMNO.

Ulas Zainal, kepimpinan Dap sering mencari salah UMNO dan seakan mahu menutup bangunan UMNO di Pulau Pinang.

“Semasa kejadian, tiang satelit di atas bangunan UMNO jatuh dan melibatkan kematian serta kerosakan, maka tentunya UMNO sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab memandang serius perkara ini.

“Kita telah mengupah pihak konsultan untuk menyiasat dan memberi cadangan untuk membaik pulih. Ketika kejadian ini berlaku, telah ada ura-ura MBPP ingin menutup menara UMNO atas alasan kononnya tidak selamat.

“Jadi kita telah mengeluarkan bajet sebanyak RM5.4 juta untuk baikpulih. Semasa membaikpulih, di menara ini memang terdapat tiga papan tanda iaitu dua di atas bumbung dan satu di dinding. Pihak kontraktor telah mengalihkan papan tanda di atas dinding ke tanah dan dengan tidak menyedari ia memerlukan permit,” terang Zainal.

Lantas jelasnya, apabila mengetahui bahawa permit diperlukan maka pihak UMNO dengan segera telah mengambil tindakan menghantar surat kepada pihak MBPP tetapi malangnya, pada hari yang sama surat dihantar, mereka telah bertindak untuk merobohkan struktur tersebut di sebelah petang.

“Inilah tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan. Mereka ini sebenarnya sakit mata dan jiwa melihat perkataan UMNO itu. Oleh itu, seboleh mungkin mereka akan mencari salah kita.

“Tidak ada langsung budi bicara kepada UMNO sebagai bekas parti yang telah lama memerintah Pulau Pinang sebelum mereka. Kita tidak minta sebarang keistimewaan, hanya budi bicara,” katanya.

Zainal turut menegaskan bahawa UMNO Pulau Pinang akan tetap mempertahankan struktur tersebut kerana itu adalah maruah UMNO. 
IMG-20150622-WA001i

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment