Wednesday, June 17, 2015
PM Lancar ‘eRezeki’ Bantu Rakyat Jana Pendapatan Tambahan
17 Jun 2015, Kuala Lumpur : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini melancarkan ‘eRezeki’, suatu program untuk membantu
rakyat berpendapatan rendah menjana pendapatan tambahan secara dalam
talian.
Beliau berkata inisiatif itu sekali gus dilihat dapat menjadi
pemangkin melonjakkan pendapatan kumpulan 40 peratus terendah (B40)
dalam piramid pendapatan.
“Kita mesti mengambil inisiatif secara intervensi yang positif, saya
tidak percaya kalau kita serah kepada penentuan pasaran dalam ekonomi
kapatilistik ini, boleh memberi kesan kepada peningkatan pendapatan
kumpulan B40,” katanya pada majlis pelancaran program itu dan pusat
eRezeki di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, di sini
hari ini.
Jelas Perdana Menteri inisiatif eRezeki dilihat akan memberi kesan
cukup besar membantu peningkatan pendapatan kumpulan itu daripada
RM2,500 sebulan pada 2014 kepada RM5,000 sebulan pada 2020.
“Dalam era digital ini kita juga tidak mahu ia terhad kepada mereka
di Cyberjaya sahaja tetapi mesti meresap ke akar umbi untuk melahirkan
golongan baharu yang mana berpendapatan mereka bertambah” katanya.
Menurutnya program berkenaan juga akan melatih dan memadankan
masyarakat kumpulan B40 dengan keupayaan menjalankan tugasan mikro
daripada sumber domestik dan asing supaya golongan itu boleh memperoleh
pendapatan tambahan.
Justeru itu, katanya sebanyak 11 pusat eRezeki akan dibina di seluruh
negara termasuk di Sabah dan Sarawak secara berperingkat menjelang
akhir tahun ini.
Najib berkata sebanyak 22 wakil pusat eRezeki akan beroperasi di
seluruh Malaysia, termasuk di Pusat Internet 1Malaysia, kolej-kolej
komuniti, di pusat Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat
Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi memudahkan rakyat menyertainya.
Program eRezeki adalah inisiatif Digital Malaysia yang bertujuan
untuk menghubungkan golongan berpendapatan rendah dengan saluran
pendapatan digital.
Melaluinya individu diberi latihan untuk melakukan tugasan digital
yang bersesuaian dan menjadi sebahagian tenaga kerja digital yang
berdaya saing.
Mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang www.erezeki.my atau menghubungi talian 1-800-88-8338.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment