Wednesday, June 17, 2015

Umat Islam Perlu Manfaat Bulan Ramadan Perkukuh Perpaduan Dan Ukhuwah – Najib

17 Jun 2015, Kuala Lumpur : Umat Islam perlu memanfaatkan bulan Ramadan bagi memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi asas kemajuan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri dalam perutusan Ramadannya pada Rabu berkata kestabilan dan kemakmuran negara saling berkait dengan kekukuhan perpaduan yang sudah dibina selama ini.
http://media.themalaysianinsider.com/assets/uploads/articles/NAJIB_RAZAK_180814_TMINAZIRSUFARI_03_1.jpg
“Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya kita selaku umat Islam diberi kesempatan bertemu dengan Ramadan 1436 Hijrah ini.

“Sempena keberkatan Ramadan ini, marilah kita perteguhkan hubungan dengan Allah SWT, di samping mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dengan keluarga, jiran tetangga dan masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru seluruh rakyat Malaysia mempersiapkan diri dari sudut fizikal, mental dan rohani dalam menjalani ibadah di bulan mulia itu.

“Sesungguhnya, pada bulan Ramadan diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada seluruh umat manusia. Di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan dilimpahi dengan pelbagai keistimewaan yang sentiasa dinantikan oleh umat Islam,” katanya bahawa Ramadan merupakan bulan peningkatan iman dan takwa seseorang.

Dalam kenikmatan menyambut Ramadan, Najib turut mengajak umat Islam di Malaysia mendoakan kesejahteraan dan menghulurkan bantuan seikhlas mungkin kepada mereka yang ditimpa musibah dan kesusahan.

“Mudah-mudahan dengan pertolongan yang diberikan akan memberi sinar kegembiraan kepada mereka yang terlibat terutama ketika menjelang ketibaan Syawal.

“Akhir kata, saya mendoakan agar kita dapat beramal dengan sebaik-baiknya pada Ramadan kali ini dan negara kita terus dilindungi Allah dari sebarang bentuk ancaman serta mara bahaya,” katanya.

Pada Selasa, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Khamis.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu umat Islam menghentikan sikap negatif seperti pembaziran, dengki, saling menyakiti dan umpat keji agar bulan mulia itu dapat diimarahkan dengan pengisian yang lebih bermakna dalam mengembangkan syiar Islam.

Beliau berkata sikap itu akan melonggarkan ukhwah, sekali gus membuka ruang kepada anasir luar untuk menyelinap masuk seterusnya melemahkan umat Islam secara senyap.
Katanya Ramadan adalah bulan membersihkan hati dan jiwa daripada anasir-anasir yang boleh meruntuhkan kekuatan hati sehingga akhirnya memberi kesan kepada pembentukan ummah yang sejati.

“Kekuatan jiwa yang diuji sepanjang Ramadan hakikatnya adalah landasan untuk umat Islam di negara ini bersatu hati mengetepikan segala sifat mazmumah yang akhirnya membuka laluan untuk negara Malaysia membangun menjadi sebuah negara yang lebih gemilang,” katanya dalam satu kenyataan sempena menyambut Ramadan.

Muhyiddin berkata ketika negara diuji dengan pelbagai tragedi seperti gempa di Ranau, Sabah dan kehilangan kapal tangki minyak MT Orkim Harmony yang pencariannya sedang giat dijalankan, kedatangan Ramadan kali ini juga dapat memupuk rasa insaf bahawa dalam melalui kehidupan umat Islam mesti sentiasa bersedia berhadapan dengan cubaan dan dugaan Allah SWT.
http://kualalumpurpost.net/wp-content/uploads/2012/08/NAJIB-RAYA-.jpeg
“Tragedi yang menimpa mesti diterima secara positif walaupun bukan mudah untuk kita berbuat demikian terutama kepada mangsa dan kaum keluarga yang terlibat.

“Namun setiap tragedi adalah peringatan dan mempunyai hikmah tersendiri supaya kita umat Islam sentiasa beringat dalam keadaan apa sekali pun dan mensyukuri setiap nikmat yang dikurniakan walaupun sebesar zarah,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengajak Umat Islam memanfaatkan bulan Ramadan dengan melipatgandakan ibadah dan amal jariah.

“Bersyukurlah kerana kita dapat menjalani ibadah puasa kali ini dalam keadaan aman dan tenteram. Bayangkan nasib saudara seagama kita di negara-negara lain yang terpaksa berdepan dengan segala macam kepayahan termasuk peperangan, penindasan dan kekejaman.

“Maka, hargailah tugas anggota-anggota keselamatan kita yang bertugas di perbatasan, di perantauan atau di seluruh pelusuk negara dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan negara.

Dipetik daripada sumber : Bernama

No comments:

Post a Comment