Wednesday, June 17, 2015
Tiada Pakatan Yang Mampu Tiru Kesepakatan Dalam BN
18 Jun 2015, Kluang : Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Jais Sarday
berkata,mana mungkin pakatan pembangkang yang ditubuhkan hanya atas
dasar mahu jatuhkan kerajaan sedia ada akan kekal apatah lagi
kesepakatan mereka itu tidak disulami dengan rasa hormat menghormati
terhadap perjuangan rakan sekutu.
Jelasnya, pembubaran pakatan pembangkang yang hampir pasti adalah
contoh dan bukti terbaik bahawa hanya Barisan Nasional (BN) yang
terbukti mampu bersepakat dengan baik walau dianggotai 13 parti
komponen.
“Kita lihat pakatan pembangkang sehingga ke akhirnya tidak berani
untuk bergerak secara sah.
Kononnya untuk membela rakyat dan mereka
lebih baik daripada BN. Tetapi hakikat sebenarnya mereka hanya sepakat
di dalam satu perkara iaitu untuk menjatuhkan BN khususnya UMNO yang
menjadi tulang belakang pemerintahan negara.
“Bila tujuan mereka itu sendiri sudah tidak betul maka sudah pasti
tidak ada rasa hormat terhadap rakan sekutu. Dap tidak mahu menerima
perjuangan Pas dan Pas pula tidak faham perjuangan Dap yang cauvenis.
“Ini jauh berbeza dengan BN. Walau terdiri daripada pelbagai bangsa
namun semua parti komponen saling menghormati perjuangan UMNO
memartabatkan agama Islam. Ini kerana kita tidak pernah mengabaikan
agama lain serta masing-masing berpegang kepada perlembagaan,” ujarnya
kepada UMNO-Online.
Malah ujarnya, kerana itulah sejak dahulu lagi tiada parti yang mampu untuk menggangu-gugat kesepakatan BN.
Beliau tidak menolak ada kala BN juga bergolak dan berselisih faham
sesama sendiri namun ia diselesaikan secara berhemah kerana
masing-masing saling hormat-menghormati.
“Saya amat yakin, walaupun akan wujud gabungan lain, ianya tetap tidak mampu untuk meniru kesepakatan yang ada di dalam BN.
“Oleh itu, saya menyeru kepada orang ramai khususnya golongan muda
yang mudah terpengaruh dengan fitnah pembangkang, lihat dan fikirlah
secara rasional.
“Jangan terlalu mudah untuk mempercayai fitnah yang sering
memburukkan BN kerana BN telah terbukti mempunyai ‘track-record’
cemerlang yang tidak mampu digapai oleh parti lain,” katanya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment