Sunday, June 14, 2015

Rakyat Malaysia Perlukan BN & UMNO Untuk Kekalkan Kemajuan, Keharmonian – CPC

12 Jun 2015, Kuala Lumpur : Delegasi dari Parti Komunis China (CPC) melihat bagaimana pentingnya peranan Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam membawa pembangunan dan kemajuan kepada Malaysia sehinggakan rakyat di dalamnya dapat hidup bersatu padu biarpun mempunyai masyarakat yang pelbagai kaum, berbeza anutan agama dan berlainan etnik.

Hal ini diperkatakan oleh Naib Pengerusi Jabatan Antarabangsa CPC, Guo Yezhou yang mengadakan kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat UMNO, hari ini selepas jalinan akrab antara dua parti dilaksana dalam perjanjian persefahaman sejak pada tahun 2010.
Kuala Lumpur, 12 Jun--Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan cenderhati kepada Naib Menteri Jabatan Antarabangsa Parti Komunis China (CPC), Mr. Guo Yezhou ketika menerima kunjungan hormat delegasi Parti Komunis China (CPC) di Ibu Pejabat UMNO di PWTC petang ini. - Foto : MediaUMNO
“Selepas mengadakan hubungan kerjasama yang erat dengan UMNO dan pertukaran delegasi serta perkongsian latihan kepimpinan melibatkan golongan muda maka kami melihat bagaimana pentingnya UMNO berperanan dalam memberikan kesan langsung kepada rakyat keseluruhannya dan Malaysia umumnya,” kata Guo Yezhou yang mengetuai delegasi CPC seramai enam orang ke Ibu Negara.

Katanya, UMNO dilihat bukan hanya sekadar rakan dalam jalinan parti politik yang mendukung pentadbiran negara tetapi juga dianggap sebagai sahabat serantau merentasi hubungan politik dengan perkongsian polisi, kebudayaan, ekonomi dan pendidikan malah memberi pendedahan kepada rakyatnya dalam pelbagai bidang.

“Kepimpinan peringkat atasan dalam parti telah membuktikan hubungan yang erat dan ia sewajarnya diperkuat hingga ke masyarakat keseluruhan dengan jalinan secara tidak langsung dalam perbagai aspek,” katanya.

Ujarnya, CPC mengagumi perjuangan UMNO dan amat berbangga dengan adanya hubungan akrab antara kedua-dua parti.

Hubungan antara UMNO dan CPC mula tercetus apabila Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein berkunjung ke China bertemu dengan Mao Tse Dong pada tahun 1974 dan jalinan tersebut berlanjutan sehingga kini.

Dalam ucapan balasnya, Tengku Adnan menjelaskan bagaimana peranan BN yang mempunyai kesatuan dalam semua perkara tanpa melihat kepada mana-mana parti untuk menjadi ketua atau bersikap lebih dominan.

“Walaupun UMNO adalah parti terbesar dalam BN tetapi setiap keputusan adalah dibuat secara kolektif iaitu pandangan semua pihak akan diambil kira walaupun parti yang terkecil sekalipun kerana keutamaan adalah kebersamaan untuk masa hadapan negara.”

Jelasnya, perbezaan yang ada dalam kehidupan bermasyarakat diketepikan dengan berkongsi satu kebudayaan bersama untuk menjadikan Malayisa sebagai sebuah negara yang unik bukan sahaja dari cara hidup dan kebudayaan malah juga pelbagai aktiviti seharian.

“Kita mahu menyediakan parti yang mempunyai struktur kukuh dengan organisasi mantap bagi diwariskan kepada generasi akan datang dengan menyediakan mereka kehidupan yang lebih baik,” katanya yang juga Setiausaha Agung BN.

Dalam masa yang berlainan, hal tersebut turut diakui oleh Duta Vietnam ke Malaysia, Pham Cao Phong dengan menganggap bahawa kemajuan Malaysia hari ini adalah hasil sumbangan dari BN selaku kerajaan dengan UMNO menjadi teras dalam pentadbirannya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment