Sunday, June 14, 2015

RMK 11 Tumpu Pembangunan Ekonomi Rakyat

12 Jun 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan akan menumpukan perhatian terhadap pembangunan ekonomi rakyat melalui Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK 11) selain terus berusaha mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara di paras tinggi atau sederhana tinggi, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kuala Lumpur, 12 Jun--Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjawab pertanyaan wartawan dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato' Onn malam ini. Turut bersama Timb. Pengerusi Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi parti-parti komponen Barisan Nasional. - Foto : MediaUMNO
Menurut beliau, melalui RMK 11, kerajaan juga akan memberikan tumpuan terhadap golongan tertentu yang perlu dipertingkatkan pendapatan mereka serta akan memberi keutamaan terhadap pelaksanaan  projek-projek pembangunan untuk rakyat.

“Kita telah menekankan betapa pentingnya tempoh lima tahun akan datang bahawa kita bukan saja perlu memberi tumpuan kepada kadar pertumbuhan yang perlu dikekalkan dengan paras tinggi atau sederhana tinggi, tetapi juga untuk menumpukan perhatian terhadap golongan tertentu yang mana pendapatan golongan sasaran ini perlu dipertingkatkan.

“ Ini termasuklah golongan yang terjejas dan memerlukan bantuan akibat  harga komoditi yang rendah. Manakala kita juga akan memberikan tumpuan terhadap projek-projek  yang menjadi keutamaan seperti pembangunan luar bandar, perumahan, pendidikan, latihan, vokasional dan sebagainya.

“Saya juga telah meminta semua ahli parlimen BN untuk turun padang serta meninjau dan membuat ketetapan di peringkat kawasan parlimen masing-masing,  apa projek yang perlu dilaksanakan di kawasan mereka demi untuk kemudahan rakyat,” , jelas beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Bangunan Dato Onn, di sini hari ini.

Sementara itu, Najib juga berkata kerajaan akan membantu lebih 250 orang Malim Gunung yang kini terjejas hasil pendapatan mereka berikutan gempa bumi yang berlaku di Sabah baru-baru ini, demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, keputusan ini dibuat memandangkan kesemua Malim Gunung itu telah kehilangan pendapatan untuk menyara keluarga mereka sementara menunggu usaha pemulihan taman tersebut yang mengambil masa lebih kurang tiga bulan lagi.

“Selain itu, kita juga bersetuju untuk mengadakan satu program anugerah khas kepada mereka yang menyabung nyawa untuk menyelamatkan mangsa gempa bumi seperti pihak polis, bomba dan termasuk juga para doktor yang terlibat di mana ada yang bekerja siang  dan malam khususnya yang terlibat dengan forensik, DNA dan sebagainya.

“Kita juga juga mengambil maklum untuk membantu penduduk tempatan di sekitar kawasan tersebut yang turut terlibat dengan gempa di mana kebanyakan rumah-rumah mereka mengalami kerosakan yang perlu diberikan bantuan dengan sewajarnya,”ujarnya.

Dalam mempertingkatkan kerjasama antara parti komponen, kata Najib Dewan Tertinggi BN juga bersetuju kerjasama antara parti komponen BN terutama di peringkat bahagian perlu dipertingkat dan diperkukuhkan khususnya diperingkat bahagian masing-masing.

“Setakat ini di peringkat majlis tertinggi kita tidak ada masalah namun  kita mahu  pemimpin BN di peringkat bahagian masing-masing untuk berusaha dengan lebih keras serta menyelesaikan sebarang masalah dalaman sekiranya ada.

“Dan jika tidak ada masalah, maka usaha memperkukuhkan lagi hubungan antara komponen BN perlu menjadi usaha berterusan agar hubungan menjadi  lebih mantap dan serasi untuk memastikan jentera kita berjalan dengan lebih lancar dan berkesan,” tegasnya

Selain itu, mesyuarat Dewan Tertinggi BN menurut Najib  telah mengambil maklum berhubung post mortem yang dilakukan terhadap dua pilihanraya kecil iaitu di Rompin dan Permatang Pauh serta mengambil kira faktor-faktor positif dan negatif yang telah mempengaruhi keputusan pilihanraya kecil di kedua-dua kawasan tersebut.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment