Wednesday, June 10, 2015
“Terima Kasih Dap Tapi Tolong Belajar Bahasa Sopan” – Bekas Ketua Pemuda Pas
5 Jun 2015, Pulau Pinang : Bekas Ketua Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang,
Ustaz Hafiz Nordin mengucap ribuan ‘terima kasih’ kepada kepimpinan Dap
kerana telah memudahkan laluan untuk golongan pro ulama di dalam Pas
menyapu bersih jawatan di dalam parti tersebut serta berjaya
menyingkirkan golongan pro Dap di dalam parti tersebut.
Menurut beliau, kritikan, celaan dan serta herdikan yang dilontarkan
oleh kepimpinan Dap selama ini terhadap presiden Pas serta kelompok
ulama di dalam Pas telah menimbulkan rasa simpati yang membuak-membuak
di kalangan penyokong akar umbi Pas.
“Jadi, saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyaklah kepada Dap kerana membantu golongan ulama di dalam Pas menyapu bersih semua jawatan yang dipertandingkan dalam muktamar kali ke 61 ini.
“Kalau tak kerana herdikan, hinaan dan cacian pemimpin Dap terhadap
golongan ulama dalam Pas, mungkin laluannya tidak sebegitu mudah seperti
yang berlaku di dalam muktamar baru-baru ini,” sindir beliau ketika
dihubungi UMNO-Online di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut menasihati kepimpinan Dap supaya belajar
dengan pemimpin Pas bagaimana untuk menegur atau mengkritik pemimpin
dengan cara yang lebih sopan dan berhemah.
“Saya sarankan pemimpin Dap pergi belajar dengan pemimpin Pas,
bagaimana nak gunakan bahasa yang sopan untuk tegur pemimpin, apatah
lagi pemimpin di luar parti mereka sendiri. Dap kurang ilmu dalam bab
ini.
“Kita boleh lihat, tidak ada satu pun kenyataan daripada pemimpin Pas
yang menggunakan kata-kata kasar dan menghina bagi membalas herdikan,
tohmahan, kejian dan hinaan yang dilontarkan oleh pemimpin Dap terhadap
golongan ulama di dalam Pas. Sebab itu saya katakan, pemimpin Dap perlu
belajar adap dan sopan dengan kepimpinan ulama di dalam Pas,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut mengharapkan Presiden Pas, Datuk Seri
Haji Hadi Awang agar tidak mengulangi kesilapan lama dengan melantik
semula golongan pro Dap sebagai ahli jawatankuasa pusat, biarpun mereka
kalah di dalam pertandingan sepertimana yang dilakukannya sebelum ini.
“Saya mohon agar presiden Pas agar jangan ulang kesilapan lalu dengan
melantik golongan parasit dan pro Dap ini sebagai AJK tambahan di
pusat. Jangan berikan mereka jawatan sebagai satu pengajaran buat mereka
agar golongan ini dapat musahabah diri dan memperbetulkan kesilapan
mereka yang lalu.
“Jika kita terus memberi peluang dan jawatan kepada golongan ini,
saya bimbang mereka tidak akan berhenti daripada agenda mereka
sepertimana yang kita lihat hari ini di mana ianya boleh meruntuhkan
perpaduan dan keutuhan di dalam Pas sepertimana yang mereka telah
lakukan sejak mutakhir ini,”tegasnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment