Monday, April 20, 2015

33 Sekolah Di Rompin Dijadikan Pusat Mengundi

16 April 2015, Kuantan : Tiga puluh tiga daripada 61 buah sekolah di Daerah Rompin akan dijadikan sebagai pusat pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei depan.

Pengarah Pendidikan Pahang Rosdi Ismail berkata berikutan itu kesemua pelajar dan guru sekolah yang terlibat akan diberikan cuti pada hari berkenaan dan hari persekolahan akan digantikan semula pada 9 Mei (Sabtu).

“Kesemua sekolah yang dipilih berkenaan telah dilawati oleh pihak berkaitan untuk digunakan sebagai pusat pembuangan undi.

Pengarah-Pendidikan-Pahang-Rosdi-Ismail

Sehubungan itu, sekolah-sekolah yang terlibat akan bercuti pada hari berkenaan, namun hari persekolahan akan digantikan semula pada hari Sabtu minggu berkenaan,” katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas di sini hari ini.

Beliau berkata daripada 33 buah sekolah itu, 14 buah sekolah berada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, 10 buah sekolah di DUN Muadzam Shah, manakala sembilan sekolah lagi di DUN Bukit Ibam.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terlibat dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Berikutan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 22 April diikuti hari pengundian 5 Mei depan.

Allahyarham Jamaluddin menjadi Anggota Parlimen kawasan itu selama enam penggal sejak 1990 dan pada pilihan raya umum lepas, beliau menewaskan Ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment