Wednesday, April 01, 2015

Peringkat Bahagian Buat Susulan Konvensyen Bagi Pastikan Kedah Terus Milik BN

1 April 2015, Kuala Lumpur : Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz berkata, lanjutan daripada Konvensyen UMNO Kedah baru-baru ini, ada bahagian yang telah melakukan susulan untuk melakukan konvensyen di peringkat bahagian bagi memantapkan lagi gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

http://www.kualalumpurpost.net/wp-content/uploads/2013/06/Datuk-Othman-Aziz.jpg

Ujarnya, bahagian Padang Serai contohnya, telah mengadakan konvensyen peringkat bahagian dengan mengadakan rundingan meja bulat antara ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Saya harapkan bahagian-bahagian lain turut mengambil langkah yang sama serta membuat susulan pula yang melibatkan kepimpinan peringkat cawangan yang dipanggil ‘locallity’. Ianya melibatkan ketua-ketua cawangan, setiausaha dan ketua sayap-sayap.

“Ianya bagi meneliti data-data dan yang lebih penting adalah bagaimana mahu menambah jumlah pengundi. Kerja-kerja sebegini haruslah dilakukan secara berkala dan bukan hanya musim pilihanraya,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Selain itu jelas Othman yang juga merupakan Ahli Parlimen Jerlun, Ops O.K (Operasi Kepong) yang telah dilaksanakan sebelum ini juga harus diteruskan kerana ianya terbukti berjaya sehingga Barisan Nasional (BN) berjaya menawan kembali negeri Kedah.

Ketika ditanya mengenai mesyuarat cawangan yang sedang berlangsung kini Othman berkata, Kedah mempunyai 15 bahagian dan 2,178 cawangan yang layak bermesyuarat. Sehingga 29 Mac yang lalu, 174 cawangan telahpun selesai bermesyuarat dengan jayanya.

“Rata-rata mesyuarat berjalan seperti biasa mengikut agenda dan menzahirkan perancangan penambahan ahli dan bilangan pengundi.

“Selain itu antara yang menjadi topik utama adalah penerangan berkaitan GST. Mereka mengharapkan agar penerangan GST ini akan lebih meluas di peringkat akar umbi.

“Kebimbangan yang dizahirkan adalah kerana dunia ciber masa kini sering memaparkan dakyah-dakyah yang tidak tepat dan menyebabkan rakyat percaya bahawa GST itu menyusahkan rakyat.

“Maka penerangan GST ini perlulah berterusan sehingga keadaan benar-benar stabil dan faham apa itu GST,” ujarnya lagi. 

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment