Monday, April 06, 2015

UMNO Dalam Krisis Lagi, Bila Jawapan Sudah Tidak Mencukupi (1)

EPISOD 1

Kritikan bertalu-talu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Perdana Menteri Mohd Najib Razak menandakan satu fasa baru krisis kepimpinan di dalam UMNO. Sama ada UMNO bersedia melalui satu lagi krisis sukar dijangka tapi krisis ini sudah tidak dapat dielakkan lagi.

 http://media.themalaysianinsider.com/assets/uploads/articles/graphic_mahathir_vs_najib_montage_heza_050215-01.jpg

Ada yang berkata Tun Mahathir hanya bertanya, jawab sahajalah, mengapa perlu bergaduh. Pandangan semacam ini hanyalah satu helah untuk mempertahankan kritikan Tun M atau ia dilihat secara lahiriah semata-mata.

Melihat kenyataan-kenyataan Tun Mahathir sejak enam bulan lalu kemungkinan besar beliau telah membuat keputusan untuk menurunkan Mohd Najib. Justeru jawapan-jawapan yang telah dan bakal diberikan tidak akan mencukupi kepada Tun Mahathir kecuali Mohd Najib meletak jawatan.

Tun menulis,
1. Ramalan oleh masyarakat sekarang ialah UMNO dan BN akan kalah Pilihanraya Umum ke-14 kerana terlalu banyak tuduhan yang dibuat terhadap Najib yang tidak dijawab olehnya.
2. Ia bermula dengan kes pembunuhan Altantuya, wanita Mongolia yang terlibat dengan skandal pembelian kapal selam.
3. Dua orang anggota polis dituduh menembak mati wanita berkenaan, dibicara, didapati bersalah, kemudian didapati tidak bersalah dan dibebaskan. Kemudian dibicara semula dan dikena hukum bunuh.
4. Seorang daripada mereka berada dalam tahanan tetapi Sirul seorang lagi berada di Australia. Dia membuat kenyataan bahawa dia diarah untuk membunuh.
5. Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Dato Sri Najib, dakwaan Sirul perlu disiasat untuk menentukan siapa yang memberi arahan. Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul “merepet”, tidak ada siasatan yang dibuat. Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.
Kita tertanya-tanya masyarakat mana yang Tun ambil sebagai menjadikan hujahan beliau? Ketika DAP, PAS dan PKR berpecah, UMNO mendapat sokongan 75% pengundi Melayu, Tun Mahathir menyatakan Barisan Nasional akan kalah? Memang benar BN mungkin akan kalah jika makin ramai bukan Melayu meninggalkan Barisan Nasional.

Namun soalnya siapakah yang menjauhkan bukan Melayu dengan UMNO jika bukan beberapa NGO yang Tun M sendiri naungi?

Pertanyaan=pertanyaan yang diutarakan oleh Tun Mahathir telah ada jawapan, namun Tun mengulanginya kerana beliau tahu kata-kata beliau selalu dianggap sebagai “hadis sahih” oleh sebahagian orang.

Tulisan Tun mengenai pembunuhan model Altantuya Saribuu seolah-olah mahu mengesahkan bahawa Najib Razak terbabit. Dengan menulis Sirul sebagai pengawal Peribadi Mohd Najib, Tun membuat pertanyaan siapakah yang mengarahkan sirul membunuh. Tun juga membuat dakwaan kononnya tiada siasatan menyeluruh dibuat ke atas dakwaan Sirul bahawa beliau diarah oleh orang lebih atas.

Lebih jahat, Tun menulis, “Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan.”

Apakah Tun tidak mengetahui bahawa perbicaraan Sirul, Azilah dan Razak Baginda berjalan hampir 6 bulan? Apakah tujuan membuat pertanyaan yang cuba memberi implikasi Najib razak terbabit?

Pertamanya, kita mahu tahu di mana fakta Tun Mahathir bahawa Sirul pernah menjadi pengawal peribadi Mohd Najib. Sirul tidak pernah menjadi pengawal peribadi Mohd Najib. Beliau hanyalah salah seorang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) yang menjaga pemimpin negara.

Malah ketika mahu disoal siasat mengenai pembunuhan tersebut, Sirul dibawa pulang dari tugasan mengiringi Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam lawatan ke Pakistan pada 2006. Bagaimana pula Tun Mahathir mendakwa Sirul adalah pengawal peribadi Mohd Najib ketika pembunuhan Altantuya?

Ketika perbicaraan Sirul dengan jelas memberitahu Mahkamah bahawa Azilah yang memanggil dan mengarahkan beliau mengambil Altantuya pada malam tersebut. Justeru jika ada orang boleh memberitahu kita siapa mengarahkan mereka ialah Azilah bukan Sirul.

Kita semua tahu selain Sirul dan Azilah, Razak Baginda mungkin terbabit kerana beliau didakwa merancang pembunuhan tersebut akibat hubungan sulit. Namun Razak dibebaskan oleh Mahkamah kerana tidak cukup bukti prima facie.

Sirul dan Azilah dibicarakan selama 9 tahun dan tidak pernah mereka mendakwa Mohd Najib terbabit secara langsung mahu pun tidak langsung.

Apa yang dikatakan oleh Sirul sekarang ada arahan lain hanyalah alasan seorang yang mahu mengelakkan hukuman gantung sampai mati.

Jika Tun ada bukti lain beliau sepatutnya membawa ke pengetahuan umum bukannya membuat sindira dan pertanyaan yang merosakkan imej Perdana Menteri.

Sehingga Tun memberi bukti lain, cubaan mengaitkan Mohd Najib dengan Altantuya bukanlah demi agama, bangsa dan negara tetapi kerana kepentingan peribadi atau kelompok sahaja.

Mendakwa Mohd Najib tidak menjawab isu ini merupakan satu fitnah yang sengaja dibuat. Mohd Najib bukan sahaja telah membiarkan perbicaraan di Mahkamah terbuka selama 9 tahun malah telah bersumpah atas nama Allah tidak mengenali Altantuya atau terbabit dengan pembunuhan tersebut.

Apakah Tun Mahathir sudah tidak percaya kuasa Allah lagi?

Apa yang diutarakan oleh Tun Mahathir sebenarnya sudah beberapa kali dijawab oleh Perdana Menteri dan pihak terbabit, namun Tun Mahthir masih mengulanginya untuk membentuk arus membenci Mohd Najib Razak.

Sebab itu, apa sahaja jawapan sudah tidak memadai kepada Tun Mahathir, keputusan telah Tun buat, Najib mesti berundur!

Disediakan oleh : EDITOR

No comments:

Post a Comment