Thursday, May 14, 2015

Jangan Menari Ikut Rentak Paluan Pembangkang – Dr. Salleh

14 Mei 2015, Kota Kinabalu : Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak mengingatkan ahli-ahli UMNO agar berhati-hati dengan taktik pembangkang yang menyebarkan pelbagai tuduhan dan provokasi berhubung isu-isu semasa khususnya berhubung 1MDB yang bertujuan melemahkan perpaduan di dalam UMNO.

Jelas beliau, ahli-ahli UMNO khususnya di peringkat akar umbi jangan terikut dengan rentak paluan gendang yang dipukul oleh pihak pembangkang dengan mengambil tindakan menyerang dan mengkritik parti lantaran terpengaruh dengan info yang disebarkan pembangkang.

“Saya minta semua ahli UMNO agar hati-hati menerima sebarang info yang disebarkan oleh pihak tertentu, khususnya pembangkang. Mereka ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk memecahkan belahkan perpaduan di dalam UMNO. Kita perlu sedar, segala serangan yang ditujukan kepada Presiden adalah bertujuan untuk melemahkan parti.

“Jika UMNO lemah, maka lebih mudah untuk dijatuhkan. Dan sekiranya UMNO jatuh, maka mereka akan dapat berkuasa di Putrajaya. Inilah matlamat mereka. Ahli-ahli UMNO perlu sedar akan perkara ini. Malah info-info yang diberikan pembangkang ini bukannya betul khususnya di dalam isu yang sedang hangat diperkatakan seperti 1MDB, Tabung Haji dan lain-lain,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Contohnya dalam isu 1MDB, beliau menegaskan bahawa rakyat termasuk ahli-ahli UMNO perlulah menunggu hasil siasatan jabatan audit negara dan juga PAC terhadap syarikat tersebut.
a12
“Dalam hal ini, kita dapat melihat keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuka pintu seluas-luasnya bagi pihak yang terbabit untuk melakukan sebarang siasatan terhadap syarikat tersebut untuk memastikan wujudnya penyelewengan atau tidak.

“Bahkan Datuk Seri Najib juga sudah memberikan jaminan, sekiranya di dapati berlaku sebarang penyelewengan maka tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut.

“Jadi dalam hal ini, apa yang perlu kita buat ialah tunggu dan lihat apa hasil siasatan terhadap syarikat tersebut yang akan berakhir tidak lama lagi. Dan sebagai ahli parti, janganlah kita terpengaruh dengan provokasi pembangkang sehinggakan kita mula bercakaran dan menyerang sesama sendiri,”jelas beliau.

Apa yang penting hari ini menurut beliau, ahli-ahli UMNO perlu mempertahankan parti sedaya mungkin dalam menghadapi serangan provokasi yang bertali arus daripada pembangkang berhubung isu-isu tersebut.

“Sebagai ahli parti, kita meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Datuk Seri Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, bahawa beliau akan menyelesaikan dan memperjelaskan isu-isu berhubung 1MDB dengan segera.

“Kita juga mesti bersatu dalam menghadapi serangan pembangkang dan tidak melatah dengan provokasi yang dilemparkan oleh pembangkang khususnya melalui media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan sebagainya.

“Jika kita bertelagah sesama sendiri, ianya tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada parti, bahkan perbuatan kita itu hanya akan melemahkan UMNO itu sendiri.

“Justeru itu, saya berpandangan kesemua ahli UMNO di seluruh negara mestilah bersatu, tidak berpecah belah dalam mempertahankan parti daripada serangan dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang hari ini,” tegasnya.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment