Thursday, May 14, 2015
Jawatan Ketua Pembangkang… Kalau Pas Tidak Setuju Pun Pas Boleh Buat Apa?
13 Mei 2015, Kuala Lumpur : Keputusan Pas melalui suara Ketua
Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar yang menyokong sepenuhnya Dap memilih
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail sebagai ketua pembangkang di Dewan
Rakyat tidak lebih sekadar drama sahaja yang jelas terpaksa mengikut
kata Dap, ujar Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang, Norliza Abd.
Rahim.
Menurut beliau, suara Pas sebenarnya tidak lagi diambil peduli oleh
PKR dan Dap, menunjukkan Pas sudah tidak relevan bagi mereka umpama
hanya melukut di tepi gantang.
“Buktinya jelas. Semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen
Permatang Pauh baru-baru ini, Pas Permatang Pauh dan Pemuda Pas Pulau
Pinang pada mulanya hendak memboikot kempen rakan sekutunya itu.
“Tetapi akhirnya, Pas yang terpaksa membuat pusingan-U. Nampak sangat PKR dan Dap tidak kisah dengan keputusan Pas itu.
“Dalam isu ketua pembangkang ini pula, jika Pas bantah pun ia tidak
mendatangkan kudis kepada PKR dan Dap, sebab itu Pas awal-awal lagi
keluarkan kenyataan menyokong, menurut sahaja,” katanya ketika dihubungi
UMNO-Online.
Tambah Exco Wanita UMNO Malaysia itu lagi, Pas memang sebuah parti
yang tidak tetap pendirian sebagaimana yang dizahirkan oleh mereka
ketika krisis pelantikan Menteri Besar (MB) Selangor sebelum ini. Wan
Azizah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dengan ‘Kajang
Move’nya, tetapi selepas itu Pas melalui presidennya menolak pencalonan
Presiden PKR sebagai MB.
“Pas sentiasa berubah-ubah pendirian kerana semasa krisis MB
Selangor, Haji Hadi kata Wan Azizah tiada kelayakan dan tiada kebolehan
untuk soal jawab baik dalam Parlimen mahupun dalam DUN.
“Tetapi apabila dilantik sebagai ketua pembangkang, setuju pula?
Tiba-tiba pula merasakan Wan Azizah pakar untuk berdebat dan soal
jawab?,” soal beliau.
Sokongan mereka juga sering dilihat tidak menentu, sekejap
dibolehkan, sekejap tidak boleh contohnya seperti isu hudud, PKR dan Dap
menolak hudud dan pada mulanya Pas nampak cukup garang, tetapi akhirnya
tunduk juga kepada rakan sekutunya itu, kata Ahli Dewan Negara itu
lagi.
Jelas beliau, mereka ini telah memperlihatkan kepada rakyat, walaupun
kononnya berpakat atas nama rakyat tetapi pada hakikatnya sering
menampilkan drama yang masing-masing mempunyai agenda tersurat dan
tersendiri sahaja.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment