Thursday, May 14, 2015

Kerajaan Setuju Formula Beli RM10 Dapat RM10

14 Mei 2015, Kuala Lumpur : Kerajaan bersetuju kad tambah nilai prabayar telefon bimbit akan mendapat nilai yang sama dengan harga jualan yang tidak dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula hujung tahun ini.

Menerusi formula baharu itu, GST hanya dikenakan apabila nilai prabayar tersebut digunakan.
http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/f/fc/Shabery_Cheek.jpg
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, tempoh itu diperlukan bagi memberi peluang kepada syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) terbabit mengkonfigurasi sistem sedia ada.

Menurutnya, pihaknya dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menemui semua telco bagi menentukan tempoh paling munasabah untuk menguatkuasakan formula baharu itu.

Ini kerana, jelas beliau, sebelum ini pengguna misalnya membayar RM10.60 tetapi sistem telco mengkreditkan RM10 manakala formula baharu, pengguna tidak lagi dikenakan GST dan telco juga mengkreditkan dengan nilai yang dibayar.

“Telco sebelum ini mengambil masa sehingga 10 bulan menyediakan sistem bagi mengkreditkan nilai prabayar yang mengandungi GST.

“Sistem sedia ada juga melalui beberapa lapisan ejen pengedaran selain pelbagai kaedah dari segi penambahan nilai prabayar sama ada yang dijual secara kupon atau dalam talian, termasuk menerusi mesin ATM (mesin pengeluaran wang automatik). Kesemua itu mempunyai pelbagai kaedah margin, cukai dan komisen berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung perkembangan terkini pelaksanaan GST kad tambah nilai prabayar di sini hari ini.

Menurut Ahmad Shabery, telco terbabit telah dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan itu dan tiada sebab untuk tidak mematuhinya.

“Menerusi kaedah menang-menang ini, kerajaan masih boleh mengutip cukai untuk dikembalikan semula kepada rakyat,” ujarnya.

Katanya, kaedah itu dipilih kerana jumlah penggunaan kad tambah nilai prabayar sangat besar sehingga mencecah RM15 bilion setahun.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, bagi mengimbangi kesan pengenaan GST, pihaknya telah meminta pihak telco menurunkan tarif perkhidmatan dan pada masa sama digesa menawarkan pakej-pakej mampu milik kepada golongan sasar seperti pelajar.

Dipetik daripada sumber : Utusan

No comments:

Post a Comment