Monday, May 11, 2015
MT Beri Sokongan Padu Najib, Muhyiddin Terajui UMNO
11 Mei 2015, Kuala Lumpur : Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isnin melahirkan
sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai
presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden parti
itu.
Najib berkata barisan MT UMNO mahu supaya presiden dan timbalan
presiden serta pimpinan tertinggi parti bersatu dalam satu pasukan dan
mengambil tindakan positif untuk kukuhkan lagi kedudukan parti itu dan
Barisan Nasional (BN) di sisi rakyat.
“Dengan keputusan itu, maka MT (UMNO) juga kata kalau ada isu
berbangkit, MT harap mereka diberi peluang untuk menyumbang idea bernas
dan positif supaya sebarang isu berbangkit boleh ditangani dan diberi
penyelesaian yang sewajarnya,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan
mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.
Mesyuarat itu, yang bermula 3.30 petang dan berakhir 7 malam ini,
turut dihadiri Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri serta dua
Naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein.
Semua ketua sayap parti iaitu Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul
Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas
Ermieyati Samsudin turut menghadiri mesyuarat itu.
Dalam sidang media ringkas selama lima minit itu, Najib berkata
beliau juga amat menghargai sumbangan idea bernas diberikan Muhyiddin
pada mesyuarat itu.
“Saya dah berjumpa hati ke hati dengan beliau pagi tadi dan saya beri
pengakuan kita akan selalu bincang hati ke hati untuk pastikan bahawa
kepimpnan UMNO di peringkat pucuk pimpinan dalam keadaan selesa dan
kukuh supaya tiada pihak akan pecah-belahkan kita terutama sekali saya
dengan timbalan presiden.
“Jadi, kalau ada apa-apa berita angin yang tersebar sebelum mesyuarat
ini, maka, kecewalah mereka yang menyebarkan berita-berita palsu
tersebut,” katanya.
Najib berkata demikian bagi mengulas laporan portal berita yang kononnya sokongan terhadap beliau semakin berkurangan.
Mengenai mesyuarat MT UMNO hari ini, Najib berkata parti turut
mengambil maklum mengenai faktor-faktor berbangkit pada Pilihan Raya
Kecil (PRK) Parlimen Rompin dan Permatang Pauh.
Pada PRK Rompin Selasa lepas, BN mengekalkan kerusi Parlimen itu
menerusi calonnya Datuk Hasan Arifin yang memperoleh 23,796 undi
berbanding calon PAS Nazri Ahmad, 40, yang mendapat 14,901 undi yang
menyaksikan penurunan majoriti kepada 8,895 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, penyandang kerusi itu Allahyarham Tan
Sri Dr Jamaluddin Jarjis mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir
enam penggal itu dengan mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS
Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
PRK Rompin diadakan berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Di PRK Permatang Pauh Khamis lepas, kerusi Parlimen itu dimenangi
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 30,316 undi
berbanding calon BN Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 undi, yang
turut menyaksikan penurunan majoriti kepada 8,841 undi.
Dipetik daripada sumber : BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment