Thursday, May 14, 2015

Pembangkang Lempar Tohmah, Manipulasi Isu Kerana Gagal Tiru Konsep Kesatuan BN

12 Mei 2015, Putrajaya : Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan kesatuan UMNO bersama Barisan Nasional (BN) yang kukuh gagal ditiru oleh pembangkang iaitu PKR, Dap dan Pas sehinggakan mereka cuba pula meruntuhkan keamanan yang telah dibina melalui pelbagai manipulasi dan provokasi.
kuuunaaaaaaannn
Jelasnya, sebagai sebuah parti politik yang kukuh dengan disokong 3.5 juta ahlinya maka tentunya menjadi sasaran pembangkang untuk memecahbelahkan perpaduan dikalangan ahli UMNO.

“Pakatan pembangkang menggunakan apa-apa sahaja perkara yang boleh mendatangkan keuntungan kepada mereka tanpa memikirkan soal keselamatan dan kesejahteraan negara termasuklah mengambil kesempatan atas kesusahan rakyat dan menimbulkan manipulasi terhadap hal-hal semasa.

“Matlamat pembangkang di negara ini adalah untuk menjatuhkan kerajaan dengan memburukkan pelbagai dasar dan agenda yang dibuat biarpun ia secara nyata memberi keuntungan kepada rakyat termasuklah mereka sendiri,” katanya.

Dalam hal ini beliau mengambil contoh bagaimana pakatan pembangkang memanipulasikan cukai barang dan perkhidmatan (GST), 1MDB, menyerang pelbagai dasar dan mewujudkan pelbagai isu negatif dengan membuat tuduhan tidak benar terhadap kerajaan.

“Ini semua dibuat untuk kepentingan politik mereka sendiri dan sekarang ini taktiknya ialah dengan mewujudkan pertelingkahan sesama anggota dalam kerajaan agar berlaku perpecahan dan dalam masa yang sama mereka akan menyelinap untuk mengelirukan rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat dari Partai Nasional Demokratik (NasDem), Indonesia di pejabatnya, hari ini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN turut menegaskan bahawa BN selaku tunjang kerajaan sentiasa berusaha mengekalkan kuasa sebagai tampuk kerajaan bukan semata-mata kerana kedudukan dan pangkat sebaliknya ia adalah tanggungjawab sebagai kerajaan yang sentiasa berusaha menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Pakatan pembangkang memberikan pelbagai tanggapan yang buruk atas apa saja pelaksanaan yang dilakukan oleh kerajaan, pelaksaaan dasar, penguatkuasaan akta malah UMNO/BN juga dituduh bersifat kroni sedangkan apa yang digembar-gemburkan itu berlaku dalam pakatan mereka,” katanya.

Dalam ucapan balasnya, Ketua Umum NasDem, Surya Paloh menghargai jalinan yang diungkap bersama UMNO apatah lagi sebagai sebuah parti politik yang baru.

”Kita kagum dengan kekukuhan UMNO yang berkebolehan dalam mentadbir dengan mempunyai struktur organisasi yang mantap,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau melahirkan keinginan untuk menjalin kerjasama lebih akrab antara dua parti dan dalam masa yang sama dapat merapatkan hubungan antara dua negara serumpun.

Partai NasDem dalam rangka kunjungan ke Kuala Lumpur selama tiga hari bermula semalam.

Kemudiannya sesi makan tengah hari telah dihoskan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Irmohizam Ibrahim di Kelab Tasik Putrajaya.

Delegasi NasDem seterusnya mengadakan kunjungan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putra Perdana.

Kunjungan NasDem bersama UMNO adalah kali pertama diadakan selepas parti itu ditubuhkan empat tahun yang lalu.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment