Thursday, May 14, 2015
Solidariti Kekuatan Sebenar UMNO Dalam Mempertahankan Kepentingan Rakyat
13 Mei 2015, Kuala Lumpur : Suasana perpecahan adalah sesuatu yang amat
membimbangkan kerana akhirnya sudah pasti membawa kepada keadaan yang
huru-hara dan menimbulkan suasana tidak aman, kata Ahli Majlis Tertinggi
(MT) UMNO, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah.
Sehubungan itu, beiau menyeru semua peringkat di dalam UMNO, baik di
akar umbi hinggalah kepada peringkat kepimpinan parti agar memegang
teguh dan hayati konsep solidariti dalam mempertahankan serta menjaga
kepentingan orang Melayu dan bumiputera sebagaimana asas perjuangan UMNO
itu sendiri.
“Jika kita tidak faham konsep solidariti ini, kita akan menghadapi
satu suasana yang cukup rumit, dan orang lain pasti akan mengambil
kesempatan, mengambil alih pemerintahan negara ini, maka berakhirlah
kekuatan orang Melayu dan berakhirnya keagungan Islam di Malaysia. Itu
yang kita bimbang.
“Sehubungan itu, konsep solidariti mesti dipertahankan. Solidariti
mesti sentiasa ada sama ada ketika berada dalam suasana yang tenang atau
yang tidak tenang, semasa senang atau susah, sama ada dalam ekonomi
yang baik atau merosot,” katanya kepada UMNO-Online
Menurut Pengerusi Biro Pendidikan MT UMNO itu lagi, konsep solidariti
ini amat penting dan mengharapkan agar ia dapat dipertahan menjadi
kunci untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana jika tidak
semuanya akan lenyap dengan kekuatan UMNO itu sendiri pudar.
Beliau turut menimbulkan persoalan, apakah perpecahan yang sedang
berlaku ini mampu memberi keuntungan ataupun sebaliknya, hanya merugikan
orang Melayu semata-mata yang mana kesannya sekarang hinggalah untuk
jangka panjang.
“Kita lihat masyarakat pada hari ini banyak perpecahan telah berlaku
dengan parti pembangkang Pas dan PKR yang bergabung dengan Dap, itupun
Melayu dah berpecah, maka dalam UMNO pun kita telah lihat bibit-bibit
berpecah yang dilakukan oleh pihak tertentu agar solidariti dari
peringkat bawah sampai atas hilang.
“Kalau ini berlaku, ia akan mengeruhkan suasana dan kedudukan orang
Melayu dan bumiputera malah keyakinan bangsa lain terhadap UMNO juga
akan hilang. Jadi, persoalannya apakah perpecahan ini menguntungkan
ataupun sebaliknya merugikan?,” soal beliau.
Justeru itu, pada pandangan beliau, ianya amat merugikan orang Melayu
dan umat Islam di Malaysia kerana apabila tidak ada solidariti iaitu
perpaduan dari peringkat pemimpin hinggalah ke peringkat bawahan dan
tidak bersatu serta berpecah, sudah pasti akan menjadi lemah, hilang
motivasi, turun semangat kekitaan yang boleh menyebabkan kehancuran.
“Bila kita hancur, sudah pasti orang lain akan ambil kesempatan dan
ini yang kita bimbang. Itu yang saya persoalkan apakah kita di dalam
UMNO sendiri jika tidak bersatu, apakah kita akan beruntung atau kita
akan lebih rugi.
“Jika kita lebih rugi, lupakan, jangan kita jadikan apa-apa alasan
sahaja untuk kita berpecah-belah bahkan kita kena bersatu, perkukuhkan
saf, kita kena perkuatkan lagi semangat kekitaan dan mengekal serta
memperkuatkan solidariti.
“Maka kita boleh terus bergerak sebagai satu parti yang bukan sahaja
mempertahankan hak dan kepentingan orang Islam malah seluruh rakyat
Malaysia,”.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment