Tuesday, May 05, 2015

Permatang Pauh Ketinggalan Kerana Pemimpinnya Lebih Banyak Berpolitik – Fadillah

4 Mei 2015, Bukit Mertajam : Permatang Pauh masih ketinggalan dari segi pembangunan kerana pemimpinnya lebih banyak berpolitik dan mementingkan kepentingan peribadi berbanding kebajikan rakyat, dakwa Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata oleh itu pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh ini adalah masa yang paling sesuai untuk rakyat mengubah landskap di kawasan ini.

Fadillah berkata BN adalah parti terbaik untuk membawa perubahan dan pembangunan berterusan di Permatang Pauh kerana ia memberi fokus kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat berbanding pakatan pembangkang yang lebih banyak bermain politik.

“Kalau saya nak bandingkan (pembangunan) kawasan ini dengan Sarawak, saya kira Sarawak jauh ke depan daripada Permatang Pauh. Walaupun kami (Sarawak) dahulu lambat masuk Malaysia, (tetapi) sebab kami dipimpin dengan baik oleh BN maka Sarawak dapat mencapai kemajuan dan pembangunan yang berterusan.

“Kami (BN) tak banyak main politik. Khidmat kami fokus kepada apakah yang terbaik untuk rakyat. Sebab itu kami dapat membangun, kami dapat memastikan kestabilan dan pembangunan ekonomi. Ini yang kami beri tumpuan,” katanya ketika berucap pada program gotong royong bersama penduduk Permatang Nibong, di sini hari ini.
SEBERANG PERAI, 4 Mei -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (kiri) bersama Timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (dua kiri) mengecat bangunan Dewan Gerakan Daya Kampung Permatang Nibung sempena Pogram Khidmat Masyarakat di kampung itu  hari ini. Turut sama Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan). --fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata calon BN bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Suhaimi Sabudin mempunyai kredibiliti dan berwibawa untuk membawa suara penduduk kawasan itu selain menjadi penghubung terbaik antara rakyat dan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata jika BN menang pada pilihan raya kecil ini pihak kementerian akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan Permatang Pauh diberi pembangunan sebaiknya.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Fadillah berkata setiap tahun kerajaan pusat memperuntukkan RM5 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf jalan persekutuan di Pulau Pinang.

Beliau berkata bagi fasa pertama RM2.5 juta diperuntukkan untuk membaiki dan menambah baik jalan di beberapa kawasan di negeri ini termasuk di Permatang Pauh.

“Jika Suhaimi diberi kemenangan, maka saya kira Permatang Pauh akan cepat berubah wajah. Mereka akan dapat lebih banyak lagi kemudahan disebabkan komitmen daripada orang muda yang saya kira boleh membawa suara dengan cara yang lebih efektif lagi,” kata Fadillah.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Khamis ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment