Tuesday, May 05, 2015

PRK Rompin: Proses Pengundian Lancar, 56.2 Peratus Keluar Mengundi Sehingga 12 Tengah Hari

5 Mei 2015, Rompin : Proses pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Rompin berjalan lancar dengan 56.2 peratus atau 29,935 daripada 52,744 pengundi berdaftar telah keluar mengundi setakat 12 tengah hari.

Keadaan dilaporkan mulai sesak di kebanyakan 38 pusat mengundi berikutan cuaca cerah sejak awal pagi yang menggalakkan orang ramai keluar mengundi termasuk di empat pusat mengundi di Pulau Rompin.

Pengundi warga emas yang merupakan 26.50 peratus daripada 53,294 pengundi berdaftar dilihat ramai keluar mengundi sejak awal pagi berbanding pengundi muda yang merupakan 19.22 peratus.

Sementara itu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin, 62, yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Leban Chondong turut melawat beberapa pusat mengundi.

Beliau melawat pusat mengundi di Kuala Rompin, Muadzam Shah dan Felda Selancar sebelum ke gugusan Felda Keratong.
ROMPIN, 5 Mei -- Penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pas berganding bahu ketika berkempen pada Pilihanraya Kecil Parlimen (PRK) Rompin di hadapan pusat pengundian Sekolah Keratong Lima hari ini.?PRK Rompin menyaksikan pertandingan dua penjuru dengan calon BN Datuk Hasan Arifin akan ditentang oleh calon Pas Nazri Ahmad. PRK Rompin diadakan selepas penyandang Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter bersama lima yang lain di Semenyih kira-kira 4.45 petang 4 April lalu ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Pekan. --fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA
Sementara itu calon PAS Nazri Ahmad yang mengundi di Sekolah Agama Rakyat di Felda Keratong 5 turut melawat pusat mengundi di gugusan Felda Keratong.

Kawasan Parlimen Rompin mempunyai kawasan Felda yang besar dan dianggarkan sebanyak 51.51 peratus daripada 53,294 pengundi berdaftar merupakan penduduk kawasan tanah rancangan tersebut.

Para peraih undi daripada kedua-dua parti sambil membawa payung yang melambangkan parti masing-masing, serta banner dan kain rentang mengenai calon parti masing-masing kelihatan bersemangat dan rancak merayu pengundi di kawasan berhampiran pusat mengundi di sekitar kawasan Parlimen Rompin walaupun tempoh berkempen telah berakhir pada tengah malam tadi.

Walaupun terdapat perang mulut antara perayu undi dari kedua-dua parti itu, suasana dilaporkan tenang tanpa sebarang kejadian.

Cuaca setakat tengah hari ini masih cerah, walaupun diramalkan ribut petir akan berlaku pada sebelah petang.

PRK Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Hasan dan Nazri bagi mengisi kekosongan kerusi itu ekoran kematian penyandangnya Tan Seri Dr Jamaluddin Jarjis akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Seramai 52,744 pemilih berdaftar layak mengundi hari ini, menakala 464 orang atau 85.1 peratus daripada 545 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka pada Khamis lalu.

Dipetik daripada sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment