Monday, May 04, 2015
Saya Tidak Terbabit Dengan Saranan Tun M Agar Najib Berhenti – Ridhuan Tee
4 Mei 2015 : Minggu lalu saya dijemput Gabungan NGO Prihatin dalam bercakap pada program
Bicara Negarawan bersama Tun Mahathir (Tun M). Jemputan dibuat kerana
pihak penganjur mahu orang akademik bercakap kerana mereka sudah muak
dengan orang politik. Atas dasar sangka baik, saya menerima jemputan
tersebut. Saya diberi peluang untuk bercakap selama 15 minit sebelum Tun
M bercakap.
Saya tidak berpihak mana-mana. Inti pati ucapan saya adalah krisis
yang berlaku antara Tun M dan PM tidak menguntungkan umat Islam. Sudah
tentu ultra kiasu yang untung besar dan mengambil kesempatan. Bincanglah
apa yang benar, apa yang salah, bukannya siapa benar, siapa salah.
Tidak semestinya saya terikat dengan pandangan Tun, terutama dalam isu
hudud. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, meskipun saya
diberitahu supaya bercakap senada dengan Tun.
Tiba-tiba portal ultra kiasu melaporkan saya terlibat menganjurkan
program tersebut dan setuju dengan Tun M agar PM meletak jawatan. Bila
pula saya berkata demikian. Ini adalah pembohongan. Hati-hati.
Negara ini mesti diselamatkan daripada jatuh ke tangan ultra kiasu
dalam krisis Tun-PM. Umat Islam mesti bersatu atas nama kebenaran, tidak
kira Umno atau Pas. Kita sudah tidak ada banyak masa. Perbalahan yang
tidak menguntungkan mesti dihentikan sebelum terlambat.
Ketika pertikaian antara dua sahabat mulia Nabi, Saidina Ali dan
Muawiyah dalam Perang Sifin, umat Islam berpecah dan hati berbelah
bahagi. Hati bersama Ali, pedang bersama Muawiyah. Mana satu nak
dipilih? Inilah dilema yang dihadapi oleh umat Islam masa kini.
Ali dan Muawiyah, kedua-duanya dijamin syurga. Tidak berani saya
untuk jatuhkan hukuman siapa benar, siapa salah. Iktibarnya daripada
peristiwa ini adalah, kepentingan umat Islam mesti diutamakan daripada
individu. Masa hadapan lebih penting dari masa kini.
Pemimpin datang dan pergi. Tetapi kerajaan, negara dan rakyatnya
tetap kekal, sehingga kiamat. Apa pun juga tindakan kita, pastikan tidak
merugikan generasi akan datang.
Cadangan saya adalah, PM dan seluruh
pemimpin tertinggi Umno, serta mereka yang ikhlas, duduklah semeja dan
berbincang, apakah jalan terbaik untuk menyelamatkan negara ini.
Berkorbanlah untuk agama, bangsa dan negara. Jika benar kita salah,
mengakulah. Jika tidak, teruskanlah. Jangan terus menerus menegakkan
benang yang basah. Rakyat sudah muak dengan permainan ini.
Saya tidak boleh bayangkan jika kepemimpinan negara ini jatuh ke
tangan ultra kiasu.
Paling kurang pun mereka akan minta jawatan timbalan
PM. Mereka akan desak sekolah perkauman, rumah ibadat ditambah. Sijil
UEC diiktiraf. Tanah-tanah yang diduduki secara haram, diberikan pajakan
999 tahun. Begitu juga dengan ladang khinzir, kilang arak, judi, kelab
malam akan bertambah.
Bukanlah kita hendak menidakkan hak golongan minoriti. Tetapi apa yang ada pada hari ini sudah lebih dari mencukupi.
Saya tidak kata, apa yang Umno BN lakukan sehingga kini semuanya
betul. Masih banyak yang perlu diperbaiki, terutama dalam aspek
integriti. Cuma saya tidak dapat menerima, apabila kita terusan
berpecah.
Sekiranya rally bersama Tun diteruskan, umat Islam akan terus
bersepai. Sebelum ini, Tun selalu mengingatkan kita, umat Islam akan
menjadi semakin lemah jika terus berpecah.
Hari ini bukan sahaja sudah
berpecah, tetapi retak menanti belah.
Memahami budaya politik Melayu, pengikut masing-masing mudah menjadi
fanatik. Lebih malang lagi apabila tidak dapat membezakan mana benar,
mana salah. Menyorak dan mengutuk sehingga tidak sedar diri.
Saya tidak nafikan selama 22 tahun Tun menjadi PM, banyak perubahan
dan pembangunan yang kita nikmati. Saya setuju dengan kenyataan Tun,
kita nampak wang yang ‘hilang’ itu. Namun, lagak Tun menyerang lagak PM,
agak menakutkan saya.
Pada satu ketika Tun pernah berkata, tidak akan menyebelahi atau
bersama pembangkang meskipun menentang pemimpin Umno BN. Hari ini
ceramah Tun rata-rata dipenuhi pembangkang dan bekas pemimpin Umno yang
menyertai pembangkang.
Sehingga ada bekas menteri yang menunggu seawal 7 pagi, sebelum Tun
sampai pada jam 10 pagi. Bekas menteri tersebut turut menyarankan agar
tidak menjemput saya lagi dalam rally akan datang. Pinggan tak retak
nasi tak dingin.
Akhirnya, krisis ini langsung tidak menguntungkan umat Islam.
Berubahlah sebelum rebah seperti yang PM kata. Jika ada yang dikatakan
Tun itu betul, maka perbetulkanlah dengan segera, sebelum parah. Jika
ada yang dibangkitkan itu serkap jarang, maka perjelaskanlah.
Dilema antara hati bersama Ali dan senjata bersama Muawiyah mesti
diselesaikan. Jangan sampai terperangkap, jika tidak, pasti kita akan
menyesal kemudian hari.
Memetik penulisan oleh : Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment