Monday, May 04, 2015
Fenomena Luar Biasa, Selepas 17 Tahun Jentera BN Tembusi Kubu Di Permatang Pauh
5 Mei 2015, Permatang Pauh : Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang,
Rafizal Abdul Rahim berkata, satu fenomena yang agak luar biasa berlaku
di permatang pauh sepanjang tempoh berkempen setakat ini apabila jentera
kempen BN kini sudah boleh menembusi kubu-kubu kuat PKR yang dahulunya
langsung tidak dapat ditembusi.
Menurut beliau, pada pilihanraya kecil kali ini, jentera Pemuda,
Wanita dan Puteri termasuk parti-parti komponen kini sudah boleh masuk
ke kubu-kubu kuat PKR untuk berkempen dan perkara ini tidak pernah
berlaku di sepanjang tujuh pilihanraya yang lalu.
“Kubu-kubu kuat ini dulunya kita tidak mampu untuk masuk berkempen
tetapi hari ini kita boleh lihat jentera-jentera BN sudah berjaya
menembusi masuk ke kubu-kubu kuat PKR untuk menjalankan gerak kerja
kempen.
“Ini bagi saya adalah satu fenomena yang agak luar biasa di kawasan
Permatang Pauh ini memandangkan ianya merupakan kubu kuat PKR sejak
tujuh pilihanraya yang lalu,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari
ini.
Beliau juga merasa agak pelik dengan kelembapan jentera-jentera
kempen pihak pembangkang, khususnya PKR di dalam pilihan raya kecil
kali ini.
“Saya mengandaikan perkara pelik ini berlaku ekoran daripada krisis
dan perpecahan dalaman di dalam pakatan pembangkang hari ini telah
mengakibatkan jentera mereka bergerak dengan begitu perlahan hari ini,”
ujarnya.
Bagaimanapun kata beliau, biarpun kelihatan wujudnya fenomena luar
biasa apabila kubu-kubu kuat PKR di kawasan ini mampu ditembusi oleh
jentera BN, termasuk situasi pelik berhubung kelembapan jentera kempen
PKR, namun BN tidak boleh melihat perkara ini sebagai satu faktor
selesa.
“Saya berpandangan dalam hal ini, jentera BN perlu bergerak lebih
aggresif dan mendepani jentera-jentera pihak pembangkang dan terus masuk
ke kubu-kubu kuat PKR untuk menambat hati pengundi, serta menjelaskan
berhubung manifesto BN di Permatang Pauh sekiranya menang pada PRK kali
ini.
“Kita mesti terus bergerak dari masa ke semasa dan memanfaatkan
tempoh berkempen ini dengan sebaik mungkin dan jangan memandangkan kita
mempunyai kelebihan berdasarkan kemelut dan krisis dalaman yang berlaku
di antara parti pembangkang,” jelasnya.
Sepanjang kempen yang sudah berlansung hampir ke penghujung ini,
beliau mendapati sambutan yang diberikan oleh warga Permatang Pauh dan
penerimaan terhadap calon BN amat positif dan memberangsangkan.
“Saya lihat kekuatan BN pada kali ini adalah kerana faktor calonnya.
BN memilih seorang calon yang tidak ada isu, yang bersih, profesional
dan juga masih muda, jika mahu dibandingkan dengan calon pakatan
pembangkang.
“Ini merupakan satu kelebihan kepada BN dan saya pasti sekiranya
Suhaimi diberikan peluang untuk mengemudikan parlimen Permatang Pauh
ini, pastinya beliau akan berusaha untuk membuat banyak perubahan bukan
setakat apa yang dijanjikan di dalam manifesto malah mungkin lebih dari
itu,”katanya.
Apabila ditanya berhubung kegagalan PKR untuk mengeluarkan manifesto
sepertimana yang dilakukan oleh BN, Rafizal berkata bahawa ini
memperlihatkan bahawa PKR tidak mempunyai hala tuju dan matlamat untuk
membangunkan kawasan ini,
“Saya rasa PKR dan juga pakatan pembangkang perlu rasa malu kerana
gagal mengeluarkan manifesto dengan alasan tidak perlu manifesto kerana
kerajaan negeri telah berjanji ketika pilihanraya umum yang lalu.
“Ini sebenarnya adalah satu kelemahan yang cuba disembunyikan oleh
pakatan pembangkang, khususnya PKR yang mana sebenarnya mereka tidak
mempunyai hala tuju untuk penduduk di Permatang Pauh sekiranya mereka
menang lagi di parlimen kawasan ini,” tegasnya.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment