Tuesday, May 05, 2015
Tanggapan BN Pasti Menang Bukan Tiket Ambil Mudah Untuk Keluarkan Pengundi – TPM
4 Mei 2015, Rompin : Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri
Muhyiddin Mohd Yassin menasihatkan kepada jentera parti pada hari
pengundian esok agar tidak mengambil sikap selesa walaupun ada
segelintir pihak yang berpendirian BN pasti menang.
Seterusnya, beliau memberi kepercayaan kepada jentera BN Rompin yang
tidak mengambil mudah kerana fokus parti adalah bagi memastikan setiap
pengundi yang menyokong BN akan keluar mengundi calon BN, Datuk Hasan
Arifin.
“Kita di peringkat jentera tidak ambil mudah dan kita hendak pastikan
bahawa setiap pengundi akan tunaikan tanggungjawabnya, setiap jam yang
dilalui akan diguna dengan membawa keluar seberapa ramai yang boleh.
“Jentera BN secara umum di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Adnan
Yaakob dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin nampak berjalan
lancar, kita punya matlamat adalah untuk melihat peratusan keluar
mengundi ini seberapa ramai yang boleh dan diharapkan macam pilihan raya
yang lalu iaitu lebih 85 peratus, kali ini kita harap tidak kurang dari
itu,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sebaik selesai merasmikan
Majlis Pecah Tanah Dewan Semai Bakti di Felda Keratong 4, di sini.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Hishammuddin selaku Penyelaras
BN PRK Rompin; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad; Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim; Timbalan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Mutalib serta beberapa Exco
Kerajaan Negeri Pahang.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu lagi, jentera BN kita memasuki
fasa bagi memastikan persiapan jentera yang akan bekerja pada hari esok
berjalan dengan lancar, iaitu pertamanya dari segi hendak memastikan
pengundi-pengundi yang menyokong BN akan keluar semuanya untuk mengundi
pada seawal pagi yang mungkin, dan menetapkan petugas di setiap daerah
mengundi itu bertanggungjawab melaksanakan amanah parti.
“Seperti biasa, BN menyediakan kemudahan-kemudahan untuk mengangkut
pengundi keluar mengundi dan memastikan mereka akan membantu kita dalam
pilihan raya ini.
“Kita juga akan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan seperti di
Felda, selain di kawasan lain kerana sejumlah besar pengundi di Rompin
adalah terdiri daripada peserta dan anak-anak peserta di tanah rancangan
yang kita yakin ini kubu kita, dan kita akan usahakan seberapa ramai
mungkin untuk keluar,” ujarnya lagi.
Jelasnya lagi di kawasan-kawasan orang asli juga, BN mendapat
sambutan yang baik dengan sebahagian isu dan permasalahan yang mereka
bangkitkan telah selesai di peringkat negeri, isu tanah, isu bantuan
yang perlu disediakan dan juga di Felda termasuklah soal perumahan
generasi kedua, soal hak milik tanah yang mana ini telah diuruskan
dengan baik oleh kerajaan negeri.
“Atas dasar itu saya yakin mereka bersedia untuk memberi sokongan
kepada BN kerana sehingga hari ini kita tidak ada masalah-masalah besar,
kita telah kenal pasti isu dan sebahagian besar telah diselesaikan dan
diperjelaskan seperti isu Felda dan Felda Global Ventures (FGV) serta
perumahan generasi kedua Felda.
“Maka adakah semata-mata kerana cukai barang dan perkhidmatan (GST),
rakyat hendak marah kepada kerajaan berbanding pelbagai keperluan dan
kebajikan rakyat yang selama ini telah ditunaikan?” katanya.
Hari pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Rompin akan diadakan
pada 5 Mei, Selasa. Ini berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham
Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter di
Semenyih pada 4 April lalu.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment