Wednesday, May 06, 2015
Terima Kasih Jentera Dan Para Pengundi BN Di Rompin
6 Mei 2015, Rompin : Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua
jentera parti serta para pengundi di Parlimen Rompin (P091) kerana telah
memberi sokongan bukan sahaja dari segi moral tetapi pelaksanaan
jentera yang kukuh dan mantap sehingga Barisan Nasional (BN) mampu
mengekalkan kemenangan.
Beliau yang juga Setiausaha Agung BN berkata, semangat dan sokongan
yang disalurkan oleh anggota jentera dan penyokong BN amat bermakna
kepada parti dan ini memberi isyarat jelas bahawa rakyat masih
percayakan kepimpinan sedi ada.
Jelasnya, kemenangan BN ini membuktikan masyarakat di Rompin ini
bijak dan memang mahukan pihak yang benar-benar bertanggungjawab sebagai
wakil mereka dan dalam masa yang sama menolak manipulasi, fitnah dan
janji-janji pakatan pembangkang.
“Rakyat tahu siapa yang benar-benar mampu dan memahami permasalahan
mereka apatah lagi telah terbukti bahawa pakatan pembangkang hanya
pandai berjanji tetapi gagal menunaikannya,” katanya kepada UMNO-Online.
Menurut beliau, kejayaan BN ini adalah sangat bermakna kerana ia
membuktikan bahawa rakyat sentiasa memberi sepenuh sokongan kepada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN selaku kerajaan.
“Kita sedar bahawa parti-parti pembangkang telah cuba menimbulkan
pelbagai spekulasi dan fitnah terhadap kerajaan tetapi dengan
kebijaksanaan rakyat khususnya para pengundi, terbukti mereka ditolak.
“Kerana itu saya amat menghargai dan menzahirkan jutaan tahniah dan
terima kasih kepada semua yang telah bertungkus-lumus membantu BN tanpa
erti jemu.
“BN akan terus memberikan perkhidmatan sebagaimana yang diharapkan
rakyat iaitu untuk kesejahteraan dan kesinambungan pembangunan
seterusnya meneruskan khidmat cemerlang Allahyarham Tan Sri Jarjis,”
ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam mengulas kemenangan calon BN di Parlimen Rompin yang diwakili oleh Datuk Hasan Ariffin.
BN berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Rompin dengan
mengalahkan calon Pas, Nazri Ahmad dengan undi majoriti 8,895. Hasan
mendapat 23796 undi berbanding 14,901 undi yang diperolehi oleh Nazri.
PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya dalam nahas helikopter.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment