Monday, April 06, 2015
Kerjasama NGO Perlu Bantu Pemahaman GST – Jamilah Hanim
6 April 2015, Kuala Lumpur : Perubahan sistem yang menjadi amalan sejak
berpuluh-puluh tahun kepada sesuatu yang baharu pasti akan melalui
proses penambahbaikan bagi menjamin kelancaran dan kestabilannya.
Begitu juga terdapat beberapa ruang kekeliruan dan kekurangan atas
pelaksanaan sistem percukaian yang baharu dilaksanakan oleh kerajaan;
cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menggantikan cukai jualan dan
perkhidmatan (SST) yang telah diamalkan negara sejak tahun 70an.
Sehubungan itu, bagi Pengerusi Vogue Malaysia, Jamilah Hanim Othman,
kesungguhan kerajaan mewujudkan beberapa saluran bagi rakyat membuat
aduan berhubung kekeliruan dan kelemahan yang ada di dalam pelaksanaan
GST adalah untuk penambahbaikan supaya ia benar-benar difahami dan
mengelakkan daripada pihak-pihak yang suka mengambil kesempatan.
“Pada masa yang sama, saya juga ingin menegaskan bahawa agensi-agensi
yang berkaitan atau ‘task force’ yang ditubuhkan untuk membantu
menyelesaikan aduan peniaga kecil-kecilan atau masyarakat wajib
memainkan peranan yang efektif.
“Sekiranya semua pihak baik pengguna, peniaga hinggalah kepada agensi
penguatkuasa bekerjasama, saya percaya ia dapat berjalan dengan baik
kerana GST ini adalah sistem yang lebih telus dan sistematik berbanding
yang sebelum ini.
“GST yang telah dikuatkuasakan pada 1 April lalu ini juga adalah
salah satu usaha kerajaan bagi memastikan ekonomi negara terus berada
dalam keadaan mapan,” kata beliau kepada UMNO-Online.
Tambah beliau lagi, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
dan rakyat yang cintakan negara, Vogue Malaysia rasa bertanggungjawab
untuk berkongsi maklumat dan mendapat maklum balas orang ramai tentang
perkara tersebut.
Sehubungan itu, pada 5 April yang lalu, di dalam salah satu siri
jelajah program ‘FPKoJ Walk on GST’ anjuran Vogue Malaysia di Petaling
Jaya, para sukarelawan telah turun padang menemui orang ramai dan
mengedarkan buku ‘Panduan Harga Pengguna’ serta juga mengisi borang
maklum balas.
“Kami ingin menekankan tentang hak yang perlu orang ramai tahu,
menjadi pengguna bijak agar tidak tertipu dengan segelintir peniaga yang
selama ini hanya mahu minta segala subsidi yang disediakan kerajaan
tetapi tidak pernah mahu menyumbang kepada ekonomi negara.
“Semoga usaha yang kerajaan laksanakan ini diberkati Allah s.w.t. dan
rakyat Malaysia akan terus aman dan makmur, In shaa Allah. Saya
berpendapat ini amat penting kerana kita yakin, kerajaan tidak akan
berlaku zalim terhadap rakyatnya, apa yang dilakukan ini adalah untuk
manfaat rakyat,” ujar beliau.
Vogue Malaysia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang
fokus kepada pendidikan dan kekeluargaan dengan tema “Funtastic Parents
and Kids Of Jannah’ (FPKoJ) yang sering bekerjasama rapat dengan Lembaga
Penduduk dan Pembangunan Keluarga dan Insitut Integriti Malaysia serta
aktif dengan program ‘i Chit Chat Café’.
Dipetik daripada sumber : MediaUMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment