Sunday, April 05, 2015
Tun M Pun Sudah Mudah Lupa?
5 April 2015, Kuala Lumpur : Boleh dikatakan hampir semua akar umbi dan penyokong UMNO kini dalam
keadaan serba salah. “Mahu ditelan, mati ibu, mahu diluah, mati bapa,”
mungkin pepatah itu membayangkan dilema di hati berkenaan serangan yang
dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bukan sekali dua Tun M menyerang Najib, bahkan sudah berkali-kali
Presiden UMNO itu diserang oleh bekas Presiden UMNO yang cukup dihormati
itu. Dan setiap kali itulah juga, Najib dilihat seolah “mengalah”,
mendiamkan diri enggan melakukan serangan balas.
Mungkin itu juga menunjukkan sikap peribadi Najib yang sangat
menghormati dan memandang tinggi Tun M, tidak seperti Tun Abdullah Ahmad
Badawi dahulu yang pernah melakukan “counter attack” ketika diserang
hebat penulis blog Chedet itu.
Merujuk dari kenyataan Tun M di sebuah program baru-baru ini, beliau
menyerang Najib kerana Presiden UMNO itu kononnya degil enggan mendengar
saranannya kira-kira empat tahun yang lalu dan sebab itulah dia
“menyerang” menerusi blog.
Jawapan itu agak berbeza dengan jawapan yang diberikan Tun M ketika
menyerang Tun Abdullah dahulu di mana beliau mendakwa bapa mertua Khairy
Jamaluddin itu melarang media arus perdana menyiarkan kenyataannya
sehingga menyebabkan dia menyerang menerusi blog.
Penulis pelik, Najib langsung tidak menyekat mana-mana media untuk
“cantas” suara Tun M sebagaimana Tun Abdullah. Malah penelitian penulis
menunjukkan Najib sentiasa membuka pintu kepada Tun M untuk bertemu dan
berbincang secara tertutup dengannya tentang sesuatu perkara. Mengapa
Tun M tetap menghentam Najib secara terbuka?
Dulu, dalam gerakan Tun M mahu menjatuhkan Tun Abdullah, penulis
masih ingat lagi beliau menyebut-nyebut nama Najib sebagai pemimpin
paling sesuai untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Tun M masih ingat lagi?
Dan kini, Tun M mahu menjatuhkan Najib untuk digantikan dengan siapa?
Siapa agaknya yang ada dalam akal Tun M untuk dijadikan Presiden UMNO
sekaligus Perdana Menteri?
Jika sebelum ini Tun M pernah mengaku salah kerana tersilap pilih
Anwar dan Abdullah sebelum ini, apakah beliau fikir calon di akalnya itu
tepat? Atau bakal ‘tersilap” lagi dan perlu dijatuhkan lagi selepas
ini? Tun M masih ingat tentang kesilapannya memilih pemimpin?
Kata Tun M, dia mencadangkan sesuatu pada Najib kira-kira empat tahun
dulu dan Perdana Menteri kononnnya “degil” enggan mendengar cakapnya.
Sekali lagi penulis hairan bin ajaib, apakah Tun M mahu mendorong
Najib untuk menjadi seorang pemimpin “boneka”? Sekiranya Najib enggan
lakukan apa kemahuan Tun M, maka beliau akan diserang habis-habisan dan
seluruh rakyat digesa untuk menurunkan Najib dari jawatan Perdana
Menteri?
Tun M tertanya-tanya dalam program berkenaan tentang kesalahan yang
pernah dilakukan ketika menjadi Perdana Menteri. Tindakan
“tertanya-tanya” itu seolah menunjukkan beliau “maksum” dari melakukan
kesalahan.
Penulis masih ingat, Tun M pernah mengaku salah membawa dan
melonjakkan Anwar hingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri. Malah
ketika itu, biar apa pun salah Anwar seperti kronisme, nepotisme,
korupsi dan sebagainya “dipejamkan mata” begitu saja.
Ketika itu kami semua dapat lihat bagaimana UMNO dirosakkan dari
dalam akibat “perlindungan” Tun M terhadap Anwar sehingga mengorbankan
beberapa pejuang tulen UMNO seperti Allahyarham Tun Ghafar Baba. Tun M
masih ingat kesalahan itu?
Ya, penulis yakin Tun M masih ingat kerana katanya beliau masih belum
“nyanyok”. Penulis masih ingat Tun M mengaku salahnya itu ketika keluar
dari UMNO di sebuah hotel di Kedah dan meminta maaf atas kesalahan
tersebut.
Tun M masih ingat? Jika masih ingat, mengapa tanya lagi tentang
kesalahan yang pernah dilakukan ketika menjawat jawatan Perdana Menteri?
Jadi, tidak perlulah penulis ‘flashback’ kesalahan-kesalahan lain yang
pernah dilakukan Tun M ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Penulis
bukan jenis suka membuka pekung di dada UMNO…
Tun M memberitahu bahawa beliau terlalu sayangkan UMNO dan kerana
itulah beliau mahu Najib turun dari jawatan Presiden UMNO. Jadi, kerana
terlalu sayangkan Tun M juga, penulis selaku ahli UMNO seperti Tun M,
menggesa supaya beliau berhenti menyerang Najib dan merosakkan imej UMNO
sesuka hati secara terbuka.
Pada pandangan penulis, bukan caranya memperbaiki UMNO dengan
mengkritik secara terbuka dan berusaha menjatuhkan Presiden UMNO
sebegitu rupa. Tun M sendiri pernah berkata, sekiranya mahu menegur
pemimpin atasan maka perlu menggunakan saluran yang betul dan tertutup.
Tun M sudah lupakah?
Terbaru, Tun M menegaskan bahawa Allahyarham Dr Jamaluddin Jarjis
merupakan seorang pemimpin yang berkaliber dan hebat jasanya. Kenapa
tidak namakan Dr Jamaluddin Jarjis sebagai Perdana Menteri ketika
meninggalkan tampuk pentadbiran negara?
Setelah Allahyarham meninggal dunia baru beliau dipuji Tun M? Apakah
Tun M menunggu ajal menjemput Najib maka barulah Tun M akan memuji Najib
sebagai seorang Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang lebih hebat dari
dirinya?
Penulis mohon, sudah-sudahlah Tun M. Rasanya pintu rumah Najib, Sri
Perdana pejabat Perdana Menteri boleh diakses Tun M pada bila-bila masa
yang beliau suka. Malah penulis yakin, Najib membuka luas pintu pada Tun
M untuk bertemu dengannya.
Cuma, janganlah dipaksa Najib ikut patuh pada setiap buah fikiran Tun
M. Penulis yakin Najib bukan ‘boneka’ dan Perdana Menteri itu tidak
mudah lupa dengan nasihat yang diberikan padanya oleh negarawan
berpengalaman seperti Tun M.
Zaman telah berubah. Malaysia bukan lagi seperti tahun 1981 ketika
Tun M mula memegang jawatan Perdana Menteri. Rakyat Malaysia kini bukan
lagi seperti era 80’an, 90’an atau awal millenium. Kini sudah 2015, lima
tahun sebelum 2020, bukan?
Najib sedang bertungkus lumus memulihkan kelemahan legasi dua
pentadbiran Perdana Menteri. Segalanya seolah ‘menarik rambut di dalam
tepung’. Jika mahu mengkritik, kritiklah secara membina dan mengikut
saluran yang betul. Tun M mampu bukan? Atau sudah lupa ‘jalan yang
betul’ itu?
Disediakan oleh : EDITOR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment